DomestikSemasa

MAQIS rampas 28 tan daging kerbau tiada logo halal

KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas daging kerbau sejuk beku dari India sebanyak 28 tan kerana didapati tidak mematuhi syarat import dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang di sini Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan pada khamis lalu, MAQIS berkata, pemeriksaan rutin sekitar jam 10 pagi tersebut, pengimport yang membawa masuk daging tersebut gagal mempamerkan logo halal.

“Pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan logo halal pada kotak dagangan yang dikehendaki seperti mana yang dinyatakan dalam syarat permit import yang diluluskan.

“Kesemua daging kerbau sejuk beku sebanyak 1,120 karton yang dianggarkan bernilai RM322,565 ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya lagi, penguatkuasaan undang-undang akan diperluaskan di semua pintu masuk negara, bagi memantau setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara.

Jelasnya, ia sangat penting supaya hasil pertanian seperti tumbuhan, haiwan, karkas, ikan dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit serta bahan tercemar.

“Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import Maqis menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta sama.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button