MAPIM terima kunjungan International Aid Campaign (IAC) Maldives
BANGI: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menerima kunjungan dari International Aid Campaign (IAC) Maldives di Ummah Hall Wisma MAPIM Malaysia, Bandar Seri Putra pada Isnin.
Delegasi IAC telah disambut oleh Naib Presiden MAPIM Malaysia, PPj Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol bersama Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Kolonel Bersekutu (PA) Haji Faris Hussain.
Kunjungan itu dibuat bagi mengadakan kerjasama antara MAPIM Malaysia dan IAC dalam menjayakan misi kemanusiaan golongan yang memerlukan di dalam mahupun luar negara.
IAC merupakan satu pertubuhan yang ditubuhkan pada 2016 atas kerjasama pelbagai NGO antarabangsa dan ratusan NGO tempatan Maldives dengan matlamat bersama untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan.
Pengalaman menjayakan operasi pertama IAC adalah mencabar kerana mengambil masa sehingga 6 bulan bagi menghantar bekalan bantuan kepada pelarian Syria melalui Turkiye. Namun, itu tidak menghalang IAC yang diasaskan oleh Ahmed Iqbal daripada meneruskan lebih banyak usaha dan berkembang melangkaui kedudukan NGO itu pada masa kini.
IAC juga memberi perhatian kepada bencana yang melanda Turkiye dan Syria serta peperangan yang berlaku di Palestin yang menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal dan juga kekurangan keperluan seharian.
Oleh yang demikian, IAC melihat MAPIM Malaysia lebih berpengalaman yang sesuai sebagai rakan kerjasama strategik dalam menjalankan misi kemanusiaan dengan lebih lancar serta efisien.