
KAZAN: Mengukuhkan jalinan kerjasama merangkumi perdagangan, bidang saintifik dan pendidikan serta ikatan kebudayaan dan sosial antara matlamat utama Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam: Forum Kazan 2023.
Forum Kazan 2023 tahun ini telah dihadiri oleh lebih 15,000 pengunjung dari 85 buah negara termasuk wilayah dalam Persekutuan Rusia dan ia merupakan salah satu sidang kemuncak terbesar di Rusia berdasarkan jumlah penyertaan dan kepentingannya.

Telah berlangsung antaranya mesyuarat dua hala, sesi dialog dan mesyuarat perniagaan. Malaysia telah diwakili delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diketuai menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menyampaikan ucapan dan berkongsi visi negara dalam sektor pertanian pada sesi meja bulat Malaysia-Rusia yang diadakan pada hari pertama forum berkenaan.
Mesyuarat dua hala antara Kementerian Pengajian Tinggi, diterajui menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama wakil Kementerian Sains dan Pengajian Tinggi Rusia turut berlangsung lancar.

Pesuruhjaya Kehormat (PA) (Dr) Sani Araby yang mewakili Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang dijemput sebagai speaker dan menjadi wakil tunggal badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyuarakan hasrat seperti melihat potensi peluang yang boleh diterokai oleh usahawan di Malaysia.
“Adanya MAPIM ini untuk kita compliment, apa sahaja inisiatif dan hasrat mahupun polisi dari kerajaan kita sambut dan kita gerakkan supaya sokongan momentum itu tidak hanya berlaku retorik. Malaysia-Rusia mempunyai kerjasama dagang yang sekian lama tetapi dari sudut pengaruh dan juga momentumnya agak suram. Jadi itulah antara agenda yang dibincangkan disebut oleh Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Keterjaminan Makanan dan kita nampak dengan kita memberikan kelebihan kepada rakyat menerusi NGO akan memberi nilai tambah yang lebih luas kerana kita mempunyai kekuatan yang luar daripada kebiasaan,” menurut (Dr) Sani Araby.

Charge D’Affaires atau Ketua Misi Kedutaan Malaysia-Rusia, Johan Ariff Abdul Razak menganggap ini satu permulaan yang baik bagi sesebuah NGO untuk mengambil peranan kerana antara Malaysia dan Rusia terdapat satu kerangka kerjasama dua hala yang dipanggil Joint Commision on Economy, Scientific, Cultural & Technical Cooperation.

“Jadi di bawah kerangka kerjasama ini pelbagai aktiviti bersama dua hala boleh dijalankan dan saya rasa bila jemputan kepada MAPIM itu dipanjangkan maka saya nampak bahawa ini satu ruang yang baru untuk kerjasama dua hala Malaysia-Rusia iaitu kerjasama antara NGO dan ini juga fit into the purpose of bilateral untuk mengeratkan kerjasama di level people to people, itu adalah faktor penting untuk membina hubungan antara negara. Jadi saya rasa ini satu permulaan yang amat baik dan saya harap pihak MAPIM dan rakan sejawat dari Rusia boleh tengok sejauh mana boleh bawa kerjasama ini,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, MAPIM telah melihat sendiri situasi di Rusia, oleh itu NGO seperti MAPIM perlu bertindak meningkatkan pemahaman antara dua negara dalam konteks Malaysia-Rusia.
“MAPIM pun kita tahu di Malaysia punyai network yang kuat dan bagus jadi saya rasa perkara itu tak mustahil sebab sekarang ini MAPIM sudah ada pemahaman yang baik tentang Rusia. Jadi saya rasa, sesiapa yang boleh jadi perantara itu memang sesuatu peranan yang amat pentinglah. Jadi saya rasa tak mustahil sebenarnya bagus kalau ada pihak yang sanggup mengambil peranan perantara itu sebab itu yang perlu kita ambil peluang lebih banyak sebab bagi pihak kedutaan kita rasa meningkatkan pemahaman antara dua negara dalam konteks Malaysia-Rusia itu adalah satu usaha yang penting yang perlu dan wajar disokong,” jelas Johan Ariff.
Menyahut usaha mengambil peranan itu, MAPIM yang sebelum ini dikenali sebagai NGO kemanusiaan, akan menggandakan gerak kerjanya dalam mengukuhkan interaksi bukan sahaja dengan komuniti perniagaan Rusia-Malaysia, malah dunia Islam.
“MAPIM boleh berperanan untuk menyatukan NGO-NGO di Malaysia untuk melihat ruang lingkup membawa pendekatan perniagaan, membawa pendekatan pelaburan untuk kedua-dua negara. Saya juga tertarik apabila mereka bercakap mengenai islamic finance technology ataupun fintech, begitu juga dengan wakaf, sukuk dalam kerangka 2023. Kita bercakap tentang bagaimana kita dapat kuasakan perkara sebegini dan inshaAllah saya sangat-sangat optimis hubungan dua hala ini jangan tinggal sebagai retorik tetapi mari mulakan dengan menyentuh bidang-bidang yang boleh kita upayakan,” kata (Dr) Sani Araby.