PUTRAJAYA: Sebanyak RM2,107,400 telah diperuntukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat banjir seperti negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut menerima RM100,000 sebagai tanda sokongan kepada Badan bukan kerajaan (NGO) itu yang memberikan komitmen penuh dalam membantu mangsa banjir.
Cek cura telah diserahkan oleh YB Senator Datuk Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr) Sani Araby Al-Kahery pada pagi tadi di Kompleks Islam Putrajaya.
Dalam masa sama hari ini juga, JAKIM bersama agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menggerakkan Skuad Musa’adah Madani untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Madani telah disempurnakan oleh Dr Haji Mohd Na’im disaksikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan semua ketua agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
15 buah kenderaan termasuk tiga bas MAPIM termasuk inisiatif MAPIM Mobile Kitchen dan bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM digerakkan bagi membawa pelbagai bentuk sumbangan keperluan segera mangsa banjir, kit ibadah, bekalan makanan kering dan basah, makanan siap, penempatan tinggal sementara dan pelbagai lagi.
Dr Haji Mohd Na’im dalam ucapannya juga mengharapkan agar setiap sumbangan yang akan disampaikan kepada mangsa-mangsa di negeri terlibat dapat meringankan kesedihan dan kesusahan mereka.
BACA JUGA
GISBH manfaatkan MAPIM Mobile Kitchen bantu ummah di Johor