SEPANG: Prihatin dengan nasib menimpa mangsa banjir di Pantai Timur, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menghantar 15 bot bantuan kecemasan.
Bantuan itu adalah bagi mengurangkan beban dan melancarkan urusan petugas di barisan hadapan yang dalam usaha membantu mangsa banjir terjejas.
“Saya difahamkan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM), keadaan di Terengganu dan Kelantan berhadapan dengan keadaan banjir yang pelbagai. Ada kawasan yang air tinggi dan ada juga yang terputus hubungan, ada banjir berterusan dan ada situasi air termenung.”
“Oleh itu hari ini kita lancarkan kumpulan ke-2 iaitu 15 bot bantuan kecemasan melalui sayap sukarelawan kenderaan pacuan 4 roda, MAPIM Rangers bagi menyokong kerja-kerja bantuan mangsa banjir di samping meringankan beban tim frontliners yang memerlukan bot-bot tambahan,” jelas Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam (PA) [Dr] Ahmad Sani Araby Al-Kahery yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia semasa acara Flag Off Misi Bencana Banjir Pantai Timur yang dibuat dari Ummah Central Warehouse di Sepang.
Sebelum itu, MAPIM telah menggerakkan kumpulan awal MAPIM Rangers di lapangan yang terdiri daripada orang tempatan, untuk menjadi 1st responder seramai lebih kurang 300 orang daripada 3,000 anggota dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia termasuk yang terkesan banjir iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.
“Tugas utama adalah untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara PPS dan juga menyediakan serta mengedarkan makanan panas. Sehingga semalam, kita hantar sekitar 800 pek makanan untuk setiap negeri.” kata [Dr] Sani Araby.
MAPIM melalui MAPIM Rangers akan menghantar secara berperingkat sebanyak 4 kontena bantuan terdesak yang diisi dengan air bersih, air minuman, bantal, set hygiene, pek makanan asas, makanan panas dan keperluan solat.
“Kita masih lagi flexible, menanti dari pihak APM dan juga agensi berkaitan untuk mereka beri laluan kepada kita untuk bekerjasama. Kita faham situasi banjir agak merbahaya untuk anggota sukarelawan seperti pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) MAPIM Malaysia untuk turut serta dalam semua khidmat penyelamatan, yang paling utama kami dapat sampaikan sokongan bantuan terdesak dan ringankan beban golongan terkesan dengan situasi banjir ketika ini,” tambah [Dr] Sani Araby.
Menurut [Dr] Sani Araby lagi, disamping meletakkan bantuan awal 1st responder MAPIM Rangers di Pahang, Terengganu dan Kelantan, sasaran bantuan hari ini adalah di lima jajahan dari lapan yang terkesan di Kelantan. MAPIM Malaysia turut mengerakkan satu unit kenderaan Amfibia bagi membantu menarik bot-bot dan membantu mangsa terkandas dalam banjir.
“Melihat kepada pengalaman kita dalam misi bantuan banjir terdahulu, perkara yang penting ditumpukan adalah termasuk bantuan pasca banjir. Bukan sahaja membantu mencuci rumah mangsa, membersihkan untuk mereka meneruskan kehidupan, kita juga akan menggerakkan bas double decker mobile clinic MAIWP-MAPIM untuk santuni mangsa yang terkesan kesihatan mereka dan mengerakkan bas Mobile Kitchen yang dibina khusus untuk hadapi bencana menyediakan makanan panas kepada frontliners, petugas sukarelawan dan mangsa,” kata [Dr] Sani Araby.
Segala usaha bantuan kemanusiaan ini menurut [Dr] Sani Araby adalah hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia yang telah menyumbang melalui Tabung Kemanusiaan MAPIM menerusi Akaun Maybank 5622 6354 0066.
Bagi mereka yang terus mahu menghulurkan sumbangan untuk kelangsungan proses bantuan kemanusiaan serta meringankan beban saudara kita yang sedang di uji di Pantai Timur kini, boleh layari laman web www.bantuummah.com