BATU PAHAT: Misi Jelajah Bantuan Banjir Johor 2023 pada hari terakhir hari ini, aktivis MAPIM Malaysia bersama sukarelawan pacuan empat roda 4×4 MAPIM Rangers serta gabungan petugas GISBH petang tadi melalui inisiatif MAPIM Mobile Kitchen telah menyediakan menu mihun goreng, mee goreng dan kuey teow goreng yang dimasak 8 kawah untuk diedarkan kepada hampir 2000 orang awam termasuk petugas barisan hadapan di Pekan, Sri Medan.
Petugas GISBH memasak di dalam MAPIM Mobile Kitchen
Atas panduan Ketua Misi Kemanusiaan MAPIM Malaysia, (Dr) Sani Araby Al-Kahery yang mewakilkan Leftenen Bersekutu (PA) Aiman Syafiq di lokasi bencana, pihaknya akan kembali dengan bantuan susulan dengan skala besar supaya lebih ramai mangsa banjir dapat disantuni.
Leftenen Bersekutu (PA) Aiman Syafiq, Ketua Advance Team Misi MAPIM Malaysia ke Johor
“Seperti kebiasaan misi akan didahului dengan tim advance di mana kami akan membawa pulang laporan awal kepada Wisma MAPIM Malaysia untuk diikuti dengan bantuan susulan pasca banjir.”
“Kita akan teruskan membawa MAPIM Mobile Kitchen ke lokasi bencana, bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM termasuk bergabung dengan beberapa sukarelawan lain di negeri Johor termasuk GISBH, sukarelawan pacuan empat roda 4×4 MAPIM Rangers dari pelbagai negeri dan menambahkan tenaga kerja dari Southern Volunteers,” menurut Aiman.
Disamping itu, sebelah petang tadi juga, wartawan Ummah Today bersama tim gabungan MAPIM telah mengikuti operasi menyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM) memindahkan penduduk tempatan perumahan Kampung Parit Sibu yang masih ditenggelami air paras bumbung.
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan musibah banjir serta menyokong kelangsungan misi bantuan kemanusiaan kami.