DomestikSemasa

MAPIM Malaysia Agih 1,000 Pek Juadah Berbuka dan Moreh di Masjid Sri Sendayan

Sendayan, — Program Dapur Ramadhan MAPIM Malaysia 2025 telah berjaya dilaksanakan di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan dengan pengagihan 1,000 pek juadah berbuka puasa dan moreh kepada jemaah yang hadir.

Ini adalah lokasi keempat Program Dapur Ramadan daripada 10 lokasi yang sudah dirancang. Sebelum ini program ini telah diadakan di Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS), serta Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota dan Masjid Jamek, Kg Baru, Semenyih.

Dalam usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan berkongsi rezeki sepanjang bulan suci Ramadan, inisiatif ini digerakkan oleh pasukan Mobile Kitchen MAPIM Malaysia. Seramai 11 sukarelawan MAPIM turun padang membantu memastikan kelancaran pengagihan makanan kepada para jemaah.

Juadah berbuka puasa yang disediakan merangkumi mee goreng, kuih-muih, serta buah-buahan, manakala untuk moreh, para jemaah menikmati kuey teow goreng bersama minuman teh tarik serta air balang strawberi watermelon soda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, Dato’ Sani Araby bin Dato’ Alim Araby program ini bertujuan untuk berkongsi rezeki menggunakan inovasi Mobile Kitchen dengan masyarakat di masjid-masjid. Ini kerana MAPIM memang sangat rapat dengan masjid dan perjuangan awal MAPIM juga bermula di masjid.

“Dapur Ramadan MAPIM adalah platform berkongsi rezeki di 10 malam terakhir Ramadan melalui iftar, moreh dan sahur. Semangat ini adalah bukti kita mampu bersatu sebagai satu ummah, memperkukuh kebersamaan dan semoga kita sama-sama dapat meraih keberkatan di penghujung Ramadan.” – Dato’ Sani Araby.

Program Dapur Ramadhan MAPIM Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAPIM dalam mendekati masyarakat dengan inovasi terkini selain menyemarakkan keberkatan Ramadan dengan aktiviti kebajikan. Dengan adanya sokongan para dermawan dan sukarelawan, diharapkan program ini dapat diteruskan ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang.

Salurkan Infaq Anda Hari Ini

MAPIM membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta dalam usaha murni ini dengan menyumbang. Infaq yang diberikan akan membantu melanjutkan program ini kepada lebih ramai umat Islam yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui pautan berikut: https://mapim.berisalam.net/.

Hadis Riwayat Tirmizi: “Barangsiapa memberi makan kepada seorang mukmin yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikit pun dari pahalanya.”

Semoga segala amal kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan ini membawa keberkatan dan ganjaran dari Allah SWT, serta menjadi saksi bagi seluruh warga MAPIM dan para pendana menuju syurga. Ameen.

 

Related Articles

Back to top button