Semasa

MAPIM kutuk penerbitan video berorientasikan promosi judi

Desak pihak berkuasa gantung produksi!

BANGI : Memasuki hari keempat Ramadan, iklan raya sudah kedengaran, tapi kali ini bukan iklan lagu raya biasa yang berkumandang sebaliknya iklan raya menggalakkan berjudi untuk meraikan Aidilfitri.

Sindiket perjudian dalam talian dikesan memperhebatkan promosi kegiatan haram itu di media sosial sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Video berdurasi 2:01 saat itu memaparkan aksi lakonan dan nyanyian empat individu lelaki dan wanita, seolah menggambarkan memberi galakan kepada orang ramai untuk berjudi dan mendapatkan duit raya.

Penerbitan video ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam yang baru sahaja menyambut puasa serta mencabar kesucian agama.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, mengutuk penerbitan video itu yang disifatkan mencemar bulan baik Ramadan ketika umat Islam hanya beberapa hari sahaja mula berpuasa.

MAPIM katanya memandang serius perkara ini dan menyelar pihak berkenaan yang tidak sensitif dengan perasaan umat Islam di negara ini.

“MAPIM mengutuk dan minta pihak berkuasa serta Kementerian Komunikasi menyiasat serta mengambil tindakan berat atas kerana menghina bulan Ramadan. Produksi itu haruslah digantung!” – Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al Kahery

Sehubungan itu (Dr.) Sani meminta pihak berkuasa serta Kementerian Komunikasi menyiasat secara terperinci mengenai penerbitan video yang jelas mengajak orang Islam melakukan sesuatu yang bersalahan di sisi syariat.

Malah tindakan berat juga diambil terhadap pihak berkaitan antaranya produksi syarikat yang perlu digantung kerana menghina bulan Ramadan selain menghasilkan karya berorientasikan promosi judi.

Perkara ini jelasnya tidak boleh dikompromi kerana jelas memijak maruah Islam dan MAPIM menolak sebarang normalisasi perkara yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

UMMAHToday mendapat kiriman video judi itu melalui kiriman aplikasi WhatsApp.

Klip itu turut meletakkan paparan tulisan Bet 3-3-3 Hari Raya.  Berdasarkan perincian senikata lagu yang terdapat pada video berkenaan – perkataan GDBet333 diulang sebanyak enam kali.

Dalam istilah Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP, `bet’  bermakna bertaruh secara jelas dinyatakan di dalam video itu.

Manakala bait senikata `Cuci semua kemudian beraya’ pula memberi takrifan mengajak orang ramai untuk melayan satu aplikasi permainan judi untuk mendapatkan habuan untuk beraya. Berikut dikongsikan bait senikata video berkenaan.

“Hari lah Hari Gembira

Hari lah ini hari raya

Bersama-sama kita rai kan

Semoga semua Bahagia

Tapi mengapa kau suram sahaja

Duduk termenung seorang diri

Nak balik kampung duit tak ada

Tapi ada cara untuk mencari

GDBet333 ada

Apa ditunggu mari lah cuba

Untung nasib mu engkau Berjaya

Cuci semua kemudian beraya

Mari ke GDBet333

Banyak lah wang boleh dimenangi

Mari ke GDBet333

Memang banyak raya pasti happy

GDBet333 ada

Apa di tunggu mari lah cuba

Untung nasib mu engkau Berjaya

Cuci semua kemudian beraya

Mari ke GDBet333

Banyak lah wang boleh dimenangi

Mari ke GDBet333

Memang banyak raya pasti happy!”

Bait-bait senikata lain pada lagu di video iklan itu juga menyatakan masyarakat khususnya orang Islam untuk tidak perlu bimbang dan gusar jika tiada wang untuk menyambut Aidilfitri akan datang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan,  turut rasa kesal terhadap tindakan pihak yang menerbitkan video iklan judi raya itu.

“Saya dimaklumkan iklan itu berkaitan dengan kasino secara online yang sudah pun dipromosikan sebelum ini. Ini sudah pasti mengundang sensitiviti umat Islam kerana kita sedang berpuasa di bulan Ramadan dan disajikan dengan iklan yang bercanggah dari segi agama,”  – Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan

Tambahnya promosikan ‘cuci duit’ dengan harga tertentu, hanya mengumpan mangsa melalui judi maya.

Umat Islam harus sedar dan bangkit dengan tawaran kecundang ini semata-mata untuk meraikan kedatangan Aidilfitri. Berjudi sememangnya ditegah dalam Islam, apatah lagi hendak diajak untuk bersubahat dalam menjayakannya.

 “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”  –  Surah Al-Maidah ayat 90 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button