SUBANG JAYA, 3 Disember – Media Prima Audio (MPA) bersama MAPIM Malaysia dan Mydin melancarkan Misi Bantuan Banjir 2024 #SuaraBantuan, sebuah inisiatif kemanusiaan yang bertujuan meringankan penderitaan mangsa banjir di negeri-negeri terjejas seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, dan kawasan lain di seluruh negara.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Mydin Mall USJ ini merupakan kolaborasi strategik antara Media Prima Audio (MPA), Mydin Mohamed Holdings Bhd, dan MAPIM Malaysia. Misi ini menjadi platform untuk mengumpul dan mengagihkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan melalui kerjasama antara sektor media, peruncitan, dan organisasi kemanusiaan.
Sebagai organisasi kemanusiaan utama, MAPIM Malaysia memainkan peranan penting dalam pengurusan logistik dan pengagihan bantuan. Ketua Setiausaha MAPIM Malaysia, Tuan Haji Faris Hussain, hadir dalam pelancaran ini dan menegaskan komitmen MAPIM untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa dengan cepat dan efisien.
Menurutnya, “MAPIM telah mempersiapkan pusat pengumpulan barangan di Gudang Sentral MAPIM Malaysia di Sepang sebagai hab utama logistik. Pasukan kami akan bekerja rapat dengan rakan strategik untuk memastikan kelancaran setiap fasa misi ini.”
Sumbangan Mydin bernilai RM50,000 dalam bentuk barangan keperluan asas dan makanan turut memperkukuh usaha ini. Barangan tersebut akan diagihkan ke kawasan yang paling terjejas melalui koordinasi MAPIM, yang sudah berpengalaman luas dalam pengurusan bencana.
Pelancaran ini turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, yang menyatakan penghargaan atas kerjasama dengan MPA dan MAPIM. Beliau berkata, “Kerjasama ini penting untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Dengan penglibatan media seperti MPA, kami dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk menyumbang melalui saluran yang sah dan dipercayai.”
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran, pula menekankan kepentingan peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai. “Media bukan sahaja medium untuk hebahan, tetapi juga saluran untuk menyatukan masyarakat dalam membantu mereka yang terjejas akibat bencana,” katanya.
Orang ramai boleh menyumbang barangan keperluan di tiga lokasi Mydin yang terpilih – Mydin Mall USJ, Mydin Seksyen 18 Shah Alam, dan Mydin Semenyih – setiap hari dari jam 9 pagi hingga 9 malam. Selain itu, sumbangan juga diterima di Gudang Sentral MAPIM Malaysia di Sepang, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
Misi ini turut mendapat sokongan personaliti dari stesen radio seperti Hot FM, Fly FM, Kool 101, Molek FM, dan Eight FM, yang akan turun padang untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan lebih banyak sumbangan.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai misi ini, orang ramai boleh melayari laman sosial rasmi MAPIM Malaysia atau saluran media MPA. Inisiatif ini mengukuhkan kepercayaan bahawa kolaborasi pelbagai pihak adalah kunci dalam menangani bencana dengan berkesan.