SHAH ALAM : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Gabungan Rakyat Asean untuk Palestin menggesa masyarakat antarabangsa segera bertindak menghentikan serangan barbarik oleh Israel.
Ia berikutan serangan berdarah dan kejam oleh tentera pendudukan Israel ke atas Gaza baru-baru ini yang telah mengorbankan lebih 20 nyawa termasuk seorang kanak-kanak berusia 5 tahun.
Menurut Presiden MAPIM Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi, dunia telah menyaksikan banyak kebiadaban dan serangan tidak berperikemanusiaan Israel ke atas Gaza membunuh beribu-ribu termasuk kanak-kanak, sejak sekatan Gaza pada 2006.
“Kami menuntut semua ketua kerajaan di seluruh dunia untuk tidak kekal pasif dan mempamerkan dasar tidak bertindak. Masyarakat antarabangsa mesti bertindak tegas untuk menamatkan kepungan ke atas Gaza.
“Dunia tidak boleh hanya menjadi penonton kepada jenayah kejam Israel. Dalam setiap serangan udara oleh israel, Gaza, penjara terbuka terbesar di dunia, terdedah kepada kematian yang tinggi,” tegasnya.
Tambahnya, mereka juga mengecam sokongan penuh Amerika Syarikat terhadap pencerobohan itu dengan alasan hak Israel untuk melindungi dirinya serta mendakwa AS telah terlibat dalam jenayah Israel terhadap penduduk Gaza.
Mereka turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar tidak berdiam diri dan semua resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) berkaitan jenayah Israel terhadap kemanusiaan mesti dikuatkuasakan ke atas Israel.
“Kami menyeru bantahan keras terhadap Israel dan AS dan menggesa PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak segera untuk menghentikan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai Israel itu.
“Serangan itu adalah sebab kenapa penyelesaian dua negara yang dipromosikan oleh AS adalah cadangan yang tidak mungkin berlaku. Ia tidak diterima oleh israel sendiri. Hipokrasi AS terhadap operasi jenayah israel berbanding dengan perang Rusia ke atas Ukraine adalah keji,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM Malaysia menzahirkan sokongan dan solidariti dengan semua gerakan penentang Palestin di samping mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga yang mati syahid dan cedera akibat serangan itu.
MASA UNTUK BERTINDAK!
Sumbangan anda untuk rakyat Palestin yang menderita sangat diperlukan.
Klik :
http://tabunggaza.com
ATAU menerusi Akaun Maybank Dana MAPIM :
5628 3463 6620
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016
Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia