Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia Dari Kaherah Ke Gaza telah dilancarkan dalam majlis ‘Flag-Off’ yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi.
Dalam ucapan pelancaran beliau, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi berkata, “Masalah kebuluran itu turut mendapat simpati dunia secara keseluruhannnya termasuk Perdana Menteri negara lain yang bukan beragama Islam.
“Justeru, usaha NGO termasuk MAPIM melaksanakan misi kemanusiaan amat disokong malah Perdana Menteri (Anwar) turut akan menghubungi Fatah As Sisi (Presiden Mesir) petang ini bagi memudahkan penyaluran bantuan itu,” katanya ketika merasmikan majlis ‘Flag Off’ misi itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri bagi memberikan sokongan kepada MAPIM pada majlis pelepasan misi bantuan itu sebelum beliau berlepas ke Kuantan, Pahang atas urusan rasmi.
Misi khas ini melibatkan penghantaran 100 kontena Malaysia ke Gaza yang diuruskan melalui gudang MAPIM di Kaherah Mesir. Bantuan 100 kontena ini berupa barangan asas seperti tepung gandum, kotak makanan, hygiene box, barangan ibu dan bayi, selimut, khemah serta bantuan asas yang lain. Jumlah berat keseluruhan mencecah 1358 ton dengan anggaran nilai berjumlah RM 12 juta ringgit.
Semua bantuan ini disumbangkan melalui pendanaan bersama 6 NGO diketuai oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia (CGM), Iman Care Malaysia, Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia disamping NGO luar negara iaitu Federation Of Islamic Associations New Zealand (FIANZ) dan Al-Khair Foundation dari United Kingdoms.
“Kita tidak punyai banyak pilihan dari terus tekad membantu saudara kita di Gaza yang sedang diuji dengan perang berdepan dengan kezaliman regim Israel. Misi ini adalah sebuah usaha nasional yang dikelolakan oleh NGO dengan dibantu oleh pihak Kerajaan Malaysia sebagai satu bukti bahawa biarpun kita ‘kerdil’ atas peta dunia namun kita semua miliki besar hati dan tidak pernah putus asa untuk membela Gaza!” – ujar Ketua Misi, Pesuruhjaya Kehormat (PA) Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby yang juga merupakan Ketua Aktivis MAPIM Malaysia
Misi ini melibatkan 20 anggota delegasi yang akan berada di kaherah selama 10 hari untuk membuat segala persiapan dan proses penghantaran ke sempadan Rafah. Delegasi dijangka akan pulang 3 hari sebelum Aidilfitri.
Cabaran terbesar misi ini adalah proses merentasi semenanjung Sinai dan juga pintu Rafah yang semua maklum bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan hubungan baik YAB Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Mesir Fatah As Sisi, diharapkan kerjasama dua hala G2G dapat membantu kelancaran misi bantuan mewakili Malaysia ini.
Dalam majlis ini juga turut diumumkan bahawa YAB Timbalan Perdana Menteri menjadi penaung misi bantuan ini menghargai kepimpinan beliau dan Kerajaan Malaysia dalam usaha berterusan membela Gaza dan Palestin.