Semasa

MAPIM gembleng tenaga bersihkan rumah mangsa banjir di Terengganu

Sudah seminggu sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan MAPIM Rangers berada di Pantai Timur, dalam Misi Bantuan Banjir.

Selepas Kelantan, mereka kini di Terengganu.

Sejak Ahad lalu, bumi Terengganu telah pun dinaiki air di beberapa kawasan sehingga menenggelamkan kebanyakan rumah di kawasan tersebut.

Antaranya adalah di sekitar Kuala Berang ekoran hujan lebat yang turun tidak henti-henti.

Tim sukarelawan MAPIM Malaysia dibantu oleh sayap kanan, MAPIM Rangers dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) turun ke lokasi bencana seawal jam 11 pagi ke dua kawasan yang terkesan iaitu iaitu Kampung Menjing dan Kampung Betong.

Menurut tinjauan wartawan UmmahToday yang turut menyertai misi, kebanyakan kediaman mangsa dipenuhi lumpur dan selut yang tebal, harta benda dan barang berharga semuanya musnah.

Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, PPj Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol berkata pergerakan Misi Bantuan Bencana ini melibatkan sebanyak 45 kenderaan pacuan empat roda yang membawa lebih 500 kotak makanan dan juga 500 set bantal dan selimut beserta 724 botol berisi air minuman.

“Bagi misi hari ini tim MAPIM menggembleng tenaga dan memfokuskan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa dan pengagihan barang bantuan kepada 500 keluarga. Walaupun bagi mereka pertolongan yang diberikan tidaklah mampu menyelesaikan masalah, namun mereka menganggap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutamanya mereka yang tidak lagi mempunyai kudrat membuat kerja-kerja pembersihan, katanya ketika ditemubual UMMAHToday.

Ia juga sebagai tanda keprihatinan MAPIM yang sentiasa mementingkan nilai kemanusiaan dan juga konsep santuni ummah yang memerlukan.

Semangat kerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan turut terselit wajah senyuman, sekali gus menghilangkan rasa penat sukarelawan MAPIM setelah bertungkus lumus bekerja keras bagi menjayakan misi tersebut.


MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu sahabat peduli Ummah untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang sedang diuji dengan bencana banjir.
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button