Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa seluruh masjid di dunia untuk bangkit membantah keras tindakan Israel yang melarang azan di masjid-masjid. Seruan ini dibuat selepas Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, mengarahkan pihak berkuasa Israel untuk melarang laungan azan dengan alasan ia “mengganggu” penduduk Yahudi.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh MAPIM pada 5 Disember 2024, arahan tersebut telah mencetuskan kemarahan umat Islam, kerana ia jelas melanggar hak beragama umat Islam, khususnya di Jerusalem. MAPIM turut menegaskan bahawa alasan Israel bahawa azan mengganggu ketenteraman awam adalah tidak berasas dan hanya bertujuan menekan umat Islam serta menghapuskan hak mereka untuk mengamalkan agama.
“Larangan azan ini bukan sahaja menafikan hak beragama umat Islam, tetapi juga mencabar kebebasan beragama yang telah diterima oleh komuniti antarabangsa. Ini adalah satu bentuk provokasi yang sengaja dicetuskan untuk menimbulkan ketegangan dan kemarahan di kalangan umat Islam,” ujar Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau juga menegaskan bahawa tindakan Israel untuk merampas pembesar suara masjid dan mengenakan denda terhadap pihak masjid adalah bentuk penindasan terhadap umat Islam di wilayah yang diduduki.
MAPIM menggesa pemimpin negara-negara Islam agar bertindak tegas dan mengambil langkah konkrit dalam membantah larangan ini, termasuk dengan memutuskan hubungan diplomatik atau ekonomi dengan Israel. Selain itu, MAPIM juga menyeru umat Islam di Palestin untuk melancarkan penentangan tegas terhadap keputusan ini.
“Sudah tiba masanya negara-negara Islam bersatu dalam menghadapi penindasan ini dan mempertahankan hak umat Islam di seluruh dunia,” tambah Mohd Azmi.
Tindakan Israel ini semakin menambahkan ketegangan di wilayah yang sudah lama bergolak, dengan umat Islam di seluruh dunia dijangka akan terus meningkatkan kesedaran dan bantahan terhadap larangan azan ini.