PalestinSemasa

MAPIM dan ZUS Coffee kerjasama jayakan Kempen 1,000,000 Penyokong & Cawan Edisi Khas Gaza

Bangi, 15 Ogos 2024 – Sebuah majlis bersejarah telah berlangsung di Bangi Convention Centre hari ini dengan pelancaran Kempen 1,000,000 Penyokong & Cawan Edisi Khas Gaza, hasil kerjasama antara MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) dan ZUS Coffee. Kempen ini bertujuan mengumpulkan sokongan untuk rakyat Gaza dengan memperkenalkan cawan edisi khas yang membangkitkan kesedaran pada perjuangan rakyat Palestin.

Sehingga kini perang genosid israel ke atas Gaza, sudah melangkaui 300 hari. Rejim zionis ini telah membunuh sekurang-kurangnya 39,000 rakyat Palestin – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – dan mencederakan lebih 92,294 yang lain, dengan lebih 10,000 orang dianggarkan tertimbus di bawah serpihan bangunan dan struktur yang dibom.

Pelancaran kempen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MAPIM bagi menunjukkan solidariti kepada penduduk Gaza yang dizalimi dalam perang genosid. ZUS Coffee, sebagai rakan kongsi sinergi kempen ini, memperkenalkan ‘sleeve’ cawan bertema Gaza edisi khas yang akan disertakan pada setiap pembelian kopi di outlet mereka di seluruh negara. Pengguna aplikasi mobil ZUS juga akan dapat menyumbang menerusi fitur sumbangan di dalam aplikasi tersebut. Hasil sumbangan akan disalurkan kepada usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.

Majlis tersebut juga menyaksikan sesi perkongsian yang menekankan peri pentingnya solidariti global dalam menghadapi krisis kemanusiaan, serta perwakilan daripada ZUS Coffee yang berkongsi komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial.

“Sesiapa yang nak beli kopi ZUS silakan dan nikmati rasa kopi tanpa ada tekanan untuk menderma. Ini bukan kempen beli sambil menderma tapi lebih kepada kempen nak zahirkan solidariti kita dan sesiapa yang berhajat untuk menderma itu adalah pilihan masing-masing. Satu juta kita anggarkan dalam tempoh satu minggu bermula pada hari ini. Minumlah apa sahaja kopi tetapi kita akan hadiahkan sleeve ini yang ada lambang dan bendera Palestin,” kata (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia.

Sementara itu, pihak ZUS Coffee melalui Ketua Pegawai Operasinya, Tuan Venon Tian, menekankan bahawa kempen ini adalah inisiatif dan bukti komitmen mereka kepada keadilan kemanusiaan sejagat, melangkaui batas sempadan negara. Dengan sleeve cawan edisi khas ini, ZUS Coffee ingin menggalakkan pelanggan mereka untuk bersama-sama menyokong kempen ini.

Sebelum ini pihak ZUS Coffee dengan bantuan pihak MAPIM telah menyalurkan bantuan air bersih sebanyak 120,000 liter menggunakan lori tangki dan bantuan makanan panas sebanyak 1,250 pek ke tiga kawasan yang terkesan teruk akibat peperangan termasuk Bandar Gaza, Deir Al Balah, dan Khan Younis. 

Kempen 1,000,000 Penyokong & Sleeve Cawan Edisi Khas Gaza MAPIM & ZUS COFFEE ini menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menunjukkan solidariti mereka secara langsung melalui pemberian sleeve cawan edisi khas dan menyebarkan kesedaran tentang situasi di Gaza. Para penyokong digalakkan untuk berkongsi maklumat tentang kempen ini di platform media sosial mereka dan mengajak lebih ramai orang untuk menyertai usaha ini dengan menyertakan tanda pagar, #GazaBangkit, #wakeupGaza dan #MAPIMxZUSxGaza.

Related Articles

Back to top button