MAPIM Bersama Komuniti Orang Asli: Solidariti Madani di Endau Rompin
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah melaksanakan program Jelajah Peduli Ummah dari 2 hingga 5 November 2024 di kawasan Endau Rompin. Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan komuniti antara masyarakat kota dengan penduduk orang asli di Kampung Peta dan Kampung Tewowoh melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bermakna.
Jelajah Peduli Ummah adalah idea yang dicetuskan oleh CEO MAPIM Malaysia, Dr. Sani Araby Al Kahery. Beliau berhasrat untuk membawa bantuan dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan.
“Program ini dirancang untuk menjangkau mereka yang mungkin terpinggir dan memastikan setiap individu mendapat perhatian yang sepatutnya. Kami ingin menjadikan ini sebagai platform untuk menyebarkan kasih sayang dan perpaduan,” katanya.
Menyahut saranan baru-baru ini oleh Datuk Seri Haji Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi, agar NGO mendahulukan usaha menyantuni masyarakat tempatan. MAPIM, dengan kerjasama rakan-rakan NGO seperti Cinta Gaza Malaysia dan ZUS Coffee, terus komited dalam memupuk nilai-nilai kemanusiaan melalui inisiatif bantuan sosial yang menyeluruh. Antara aktiviti utama termasuk dapur bergerak untuk penyediaan makanan, klinik bergerak bagi pemeriksaan kesihatan, dan bengkel agama khusus untuk kanak-kanak Muslim. Lebih daripada 150 kotak bantuan juga diedarkan kepada penduduk setempat sebagai persediaan menghadapi musim banjir, memandangkan Kampung Peta merupakan zon merah yang berisiko tinggi untuk terputus bekalan makanan dan bantuan dari luar. Sumbangan foodpack ini diharap dapat menjadi persediaan awal sekiranya banjir berlaku.
Aiman Syafiq sebagai pengarah program menyatakan, “Kami percaya bahawa program ini bukan sahaja memberi bantuan material tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan komuniti. Kami bertekad untuk mendengar dan memahami keperluan mereka, serta memastikan setiap individu merasai manfaat daripada inisiatif ini.”
Untuk memastikan kelancaran logistik ke perkampungan yang jauh di pedalaman ini, MAPIM telah menggerakkan 13 unit kenderaan 4×4 bagi membawa sukarelawan ke Kampung Peta dan Kampung Tewowoh. Program dimulakan dengan edaran 50 meja belajar untuk pelajar di sekolah rimba, diikuti dengan pertandingan mewarna, sukaneka, dan aktiviti anyam tikar. Sekolah Rimba ini, yang diasaskan oleh MRA Johor, berfungsi sebagai platform untuk mengajar ilmu tradisional masyarakat Orang Asli, membantu mereka mengekalkan budaya dan tradisi yang kian terpinggir dari arus kemodenan.
Kemeriahan program diteruskan pada sebelah malamnya dengan sesi perasmian program yang telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung MAPIM, Haji Faris bin Haji Hussien. Kemudian ia diikuti oleh ucapan dan sesi perkongsian tentang Palestin daripada Presiden CGM Tuan Nadhir, ucapan Tok Batin dan wakil MRA.
Dengan inisiatif seperti ini, MAPIM dan rakan-rakan kerjasama bertekad untuk tidak hanya memberikan bantuan material, tetapi juga menyebarkan semangat perpaduan dan kasih sayang, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.