Bangi : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengambil sebuah inisiatif menganjurkan Himpunan Artis dan Seniman Malaysia Membela Palestin (HASPA) akan diadakan pada 2 hb Disember 2023 di Shah Alam Selangor.
Inisiatif ini adalah untuk mencetus kesedaran dikalangan semua artis dan seniman di negara ini, yang mempunyai pengikut yang ramai,untuk menyumbang harta, tenaga dan masa demi berpartisipasi menyokong perjuangan pembebasan Palestin.
Penganjur acara adalah terdiri dari MAPIM bersama NGO di kalangan artis dan seniman negara. Setiap NGO akan menyumbang tenaga untuk melaksanakan usaha membantu pembelaan ke atas Palestin.
Sasaran Dana yang akan diusahakan untuk membantu Palestin adalah RM1,000,000 (satu juta). Bantuan serta merta dalam bentuk makanan dan ubatan akan diusahakan bersama MAPIM dan badan-badan kemanusiaan. Manakala bantuan pembinaan semula Gaza akan disalurkan apabila keadaan mengizinkan.
Acara 2 hb Disember 2023 tersebut akan diadakan di Shah Alam. MAPIM sedang memohon kerjasama dengan pihak MB Selangor sebagai penganjur bersama program ini agar mendapat sambutan yang lebih mantap dan sumbangan yang lebih baik kepada Tabung Kecemasan Palestin.
Kehadiran para artis dan seniman negara dalam perhimpunan tersebut akan memberi mesej yang kuat kepada masyarakat dalam negara dan juga selebriti dan seniman antarabangsa untuk menyatakan sikap dan pendirian tegas membantah kezaliman Israel terhadap rakyat
Palestin. Perhimpunan ini juga adalah inisiatif untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa serangan Israel yang paling biadab dan kejam keatas Gaza dan Tebing Barat Palestin yang terkini.
MAPIM menyatakan kecaman keras ke atas tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan zionis Israel yang kini melakukan jenayah perang dan genocide terang-terangan ke atas warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Sehingga kenyataan ini dikeluarkan hampir 10,589 warga awam Palestin di Gaza dan Tebing Barat telah terkorban sepanjang 35 hari perang Israel Gaza tercetus. Hampir 4,088 yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak manakala 3,000 adalah wanita. Serangan barbarik zionis Israel ke atas Gaza sejak 8 hb Oktober 2023 yang telah berlarutan sehingga hari ini adalah genocide paling kejam yang disaksikan dunia.
Sementara itu, lebih 1,400,000 warga Gaza kini kehilangan tempat kediaman yang telah musnah teruk, hampir semua hospital tidak dapat berfungsi dan beberapa hospital hancur, lebih 200 sekolah termasuk sekolah PBB dibom, juga serangan ke atas masjid, gereja, universiti dan semua fasiliti kesihatan.
Kini Gaza dikepung secara total dan warga Gaza terputus bekalan elektrik, minyak, makanan, ubatan, air minum serta talian internet. Gaza yang memiliki 2.2 juta penduduk sedang berada dalam keadaan yang sangat kritikal.
Pembantaian Israel ke atas Gaza kali ini adalah di luar perikemanusiaan sama sekali. Israel tidak peduli dan dengan sengaja melanggar undang-undang antarabangsa. Orang awam yang cuba menyelamatkan diri itu juga turut diserang!
Ini adalah jenayah kemanusiaan yang menghinakan. Seluruh badan dunia yang kelihatan lumpuh untuk bertindak. PBB dan OIC sama sekali gagal menghentikan keganasan Israel yang kejam.
Israel adalah negara haram dan negara teroris. Kami mengharapkan usaha para artis dan seniman ini akan memberi impak yang tinggi bagi mendukung perjuangan mengembalikan semula hak mereka.
MAPIM mengundang para artis dan seniman negara menjayakan perhimpunan ini bukan sekadar untuk berhimpun pada ketika itu sahaja tetapi secara berterusan bertindak untuk menyokong perjuangan Palestin sehingga Palestin dibebaskan.