MAPIM akan gerakkan usaha bantuan kemanusiaan mangsa banjir ke Pakistan

SHAH ALAM : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menggerakkan pasukan mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Pakistan yang dilanda banjir baru-baru ini.
Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi, pihak mereka akan bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur untuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan ke negara itu.

“Kami merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa banjir besar Pakistan yang mengorbankan 1,000 orang dan mencederakan lebih 1,300 yang lain.
“Pasukan kami akan dikerahkan ke Pakistan untuk membantu dalam apa jua cara yang mungkin dalam menyampaikan bantuan yang diperlukan, menurutnya dalam satu siaran media hari ini.
Dalam pada itu, Cikgu Azmi juga menyeru semua masjid di Malaysia untuk mengadakan solat hajat khas untuk Pakistan bagi menunjukkan ukhuwah Islamiah dan solidariti dengan rakyat Pakistan.

Menurut laporan Gulf News, sebanyak 116 daerah terjejas akibat bencana itu manakala 68 daerah ‘dilanda musibah’ sehingga menyebabkan 218,000 rumah musnah dan 452,000 lagi mengalami kerosakan.
Bencana itu juga telah memusnahkan 2 juta ekar tanaman serta membunuh lebih 700,000 ternakan.