BanjirSemasa

Mangsa banjir, petugas PPS digalak ambil ubat cegah kencing tikus

ALOR GAJAH: Mangsa banjir dan petugas di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka digalakkan mengambil ubat prophylaxis bagi mencegah penyakit leptospirosis atau kencing tikus.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ubat berkenaan tidak berbahaya dan bekalannya boleh diperoleh daripada petugas kesihatan di PPS terlibat.

Beliau berkata mangsa dan petugas banjir digalak mengambil ubat berkenaan kerana mereka berisiko mendapat jangkitan terutama yang terdedah lama dalam air banjir atau ketika membersihkan rumah.

Exco Kesihatan & Anti Dadah negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh

“Penyakit kencing tikus adalah satu daripada penyakit bawaan air dan kita lebih takut dengan leptospirosis ini terutama apabila berlaku banjir.

“Walaupun kes dilaporkan adalah rendah tetapi penyakit berkenaan ada dalam komuniti dan kita tidak boleh ambil remeh perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan di sini hari ini.

Beliau berkata pengambilan ubat berkenaan telah mula digalakkan diambil dalam kalangan mangsa banjir dan petugas PPS sejak awal tahun ini.

Pusat Pemindahan Sementara(PPS) di SMK Sri Pengkalan, Alor Gajah menempatkan 22 keluarga yang terdiri daripada 106 orang mangsa banjir – Kredit foto APM Alor Gajah

Sementara itu, katanya warga emas dan ibu mengandung yang terjejas banjir diminta berpindah ke PPS berhampiran bagi memastikan tahap kesihatan mereka dapat dipantau petugas kesihatan.

Dr Muhamad Akmal berkata ibu mengandung juga boleh membuat pemeriksaan susulan di PPS tanpa perlu ke klinik kesihatan berhampiran.

“Kita akan tempatkan petugas kesihatan dua kali sehari bagi menjalankan rutin pemeriksaan ke atas mangsa banjir termasuk warga emas serta ibu mengandung dan golongan yang berpenyakit seperti darah tinggi dan kencing manis juga dipantau dan bekalan ubat mereka juga diperiksa,” katanya.

Beliau berkata selain itu, mangsa banjir juga diberikan sokongan psikososial bagi meringan beban mental yang ditanggung mereka akibat banjir khususnya kehilangan harta benda selain mengurangkan kerisauan kesan bencana itu.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak empat PPS dibuka di Melaka iaitu tiga di Alor Gajah dan satu di Melaka Tengah melibatkan 224 mangsa daripada 60 keluarga. – BERNAMA

MAPIM MALAYSIA DALAM SIAP SIAGA UNTUK MISI BANTUAN KECEMASAN BENCANA BANJIR

Bersama kami membantu mangsa banjir melalui sumbangan infaq menerusi

Akaun Maybank

562263540066

TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

atau layari www.bantuummah.com

HOTLINE MAPIM MALAYSIA

Jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button