Mangsa banjir Kedah meningkat
ALOR SETAR : Setakat 8 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 58 orang berbanding 31 orang pada hari sebelumnya yang ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir (PPS) di daerah Kubang Pasu.
Komander Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata 22 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Lahar manakala 36 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tradisi di Lembah Keriang.
“Selepas hujan lebat berterusan, PPS Dewan Kampung Tradisi telah diaktifkan pada jam 8 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Muaz berkata pihaknya akan terus memantau keadaan termasuk cuaca dan paras air sungai secara berkala bagi memastikan langkah keselamatan yang diperlukan dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan sekiranya berlaku banjir pada masa hadapan.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM