RANTAU PANJANG : Sudahlah dilanda banjir, dalam masa yang sama mereka juga diuji dengan bahana pandemik Covid-19.
Kebanyakan mangsa yang terjejas akibat banjir di Rantau Panjang terpaksa tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menunggu banjir surut.
Berdasarkan tinjauan UMMAHToday, PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang menempatkan 386 keluarga dengan jumlah 968 mangsa semenjak dua tiga hari lepas.
Penduduk di situ memberitahu bahawa ini merupakan banjir terburuk dalam sejarah mereka. Kawasan tersebut boleh diibaratkan sebagai pulau sehingga menyebabkan orang ramai tersekat berikutan jalan untuk akses ke sini dinaiki air.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, ada antara mangsa banjir di PSS Gual Tinggi yang dikesan positif Covid-19 menjadikan situasi mereka semakin buruk.
Menurut Anggota Pertahanan Awam Malaysia yang bertugas di PPS tersebut, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengasingkan pesakit yang didapati positif.