Semasa

Mangsa banjir di Kuantan meningkat

257 mangsa ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

KUANTAN :  Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga buat rakyat Pahang yang berdepan dengan hujan lebat dan ribut sehingga mengakibatkan kerosakan di beberapa kawasan penempatan penduduk.

Hujan lebat yang berterusan sejak dua hari lepas mengakibatkan beberapa kawasan pada kedudukan rendah ditenggelami air. Beberapa daerah yang dilaporkan, antaranya Jerantut, Maran, Pekan, Kuantan dan Rompin.

Berdasarkan info di portal bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), seramai 257 mangsa banjir kini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di daerah tersebut sejak 8 pagi tadi, Jumaat (26 Mac). Jumlah mangsa ini meningkat sekali ganda berbanding semalam iaitu 114 orang.

Tambah laporan JKM, sebuah lagi PPS dibuka yang kini menempatkan 59 mangsa banjir dan 14 keluarga di dewan KRT Taman Murni Sungai Isap, malam tadi.

Antara PPS lain yang beroperasi ialah Balai Raya Kampung Tiram menempatkan 103 mangsa banjir daripada 32 keluarga, Dewan Orang Ramai Kampung Pandan 1 membabitkan 73 mangsa dan 25 keluarga,

Manakala, lapan mangsa, dua keluarga di Balai Raya Bukit Kuin 1 dan enam mangsa, satu keluarga di Dewan Orang Ramai Mat Kilau.

Jumlah kesuluruhan mangsa yang berlindung di PPS pada waktu ini ialah kira-kira 76 keluarga.

Merujuk pada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), amaran cuaca buruk di negeri Pahang melibatkan Kuantan dan Pekan.  Manakala, hujan lebat dijangka berlaku di sekitar Kemaman (Terengganu), Jerantut, Maran, Bera dan Rompin (Pahang), Mersing dan Kota Tinggi (Johor) dan Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Sarawak).

Sementara itu maklumat dari laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran  Sungai Kuantan melaporkan di Pasir Kemudi dan Sungai Belat, Sri Damai, di sini, berada pada paras amaran.

Terkini, merujuk pada laporan hantaran Facebook @Pahang Media     sebanyak 66 buah premis di sekitar Balok Maju, Balok Darat, Balok Pantai dan Balok Baru di sini terjejas berikutan kejadian ribut yang menimpa beberapa kawasan di Pahang semalam.

Selain itu, sebanyak 57 buah rumah dan sembilan premis perniagaan terkesan akibat daripada ribut yang berlaku sekitar jam 5 hingga 6 petang.

Tiada kemalangan dan kecederaan direkodkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Penyiaran Nurshazlin Shahrom.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button