BanjirDomestikSemasa

Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat

KOTA BHARU: Seramai 3,546 mangsa terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), susulan banjir di Kelantan semakin buruk.

Jumlah itu melonjak naik berbanding semalam, seramai 2,044 mangsa direkodkan pada waktu petang.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.15 pagi tadi, mereka meliputi 1,157 lelaki dewasa, 1,128 wanita dewasa, 605 kanak-kanak lelaki, 568 kanak-kanak perempuan dan 88 bayi.

Terdapat 33 PPS di lima daerah, iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh dan Pasir Mas dibuka yang kini menempatkan semua mangsa banjir daripada 1,125 keluarga itu.

Pasir Mas mencatat peningkatan mendadak mangsa banjir dengan 2,455 penduduk berpindah ke 10 PPS, berikutan hujan lebat berterusan.

Kuala Krai merekodkan 451 mangsa banjir berlindung di sembilan PPS, Tanah Merah pula 341 orang di sembilan PPS, Jeli mencatat 268 mangsa banjir ditempatkan di empat PPS, dan Pasir Puteh merekodkan 31 mangsa di sebuah PPS.

Sementara itu menurut portal eBanjir Kelantan, tiga jalan ditutup kepada semua kenderaan di Tanah Merah, iaitu Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah, serta Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button