BanjirSemasa

Mangsa banjir di Johor meningkat manakala 4 negeri kekal

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat pagi ini manakala di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak masing-masing kekal.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) JOHOR dalam kenyataan memaklumkan Mersing menjadi daerah terbaharu terjejas banjir di negeri itu, menjadikan jumlah mangsa meningkat kepada 178 orang setakat 8 pagi ini berbanding 159 orang malam tadi.

Menurutnya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing dibuka pada 12:30 tengah malam tadi di Sekolah Agama Pangkalan Batu untuk menempatkan 22 mangsa banjir daripada tiga keluarga, sekali gus menjadikan 6 PPS dibuka di tiga daerah termasuk Segamat dan Kota Tinggi.

“Dua PPS di Kota Tinggi menempatkan 84 orang daripada 25 keluarga, manakala tiga PPS di Segamat menempatkan 72 orang daripada 20 keluarga”, menurut kenyataan itu hari ini.

Petugas APM Segamat melakukan pemantauan ke lokasi kejadian banjir. Paras air semasa menunjukkan trend peningkatan disebabkan oleh taburan hujan yang berterusan.

Sementara itu menurut Sekretariat JPBN KELANTAN, 2,019 orang daripada 637 keluarga di jajahan Pasir Mas masih ditempatkan di tujuh PPS setakat ini.

Daripada jumlah itu, 712 mangsa berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (69), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (256) dan SK Sri Kiambang (234).

Anggota APM Rantau Panjang menyantuni mangsa banjir di Pusat Perpindahan Sementara To’deh

Di TERENGGANU, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu pada pagi ini kekal seperti malam tadi iaitu 61 orang daripada 13 keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Kemat (35) dan PPS Balai Raya Kampung Tapah (26).

Di PAHANG, Sekretariat JBPN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini juga tidak berubah daripada malam tadi iaitu seramai 151 orang di dua daerah membabitkan Pekan dan Bera.

Pekan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 142 orang yang berada di PPS SK Sinar Mutiara di Sungai Miang, manakala sembilan mangsa lagi berada di PPS SK Kerayong, Bera.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal melibatkan 104 orang daripada 25 keluarga sejak 8 malam tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Abd Rahman Talib dekat Hilir Perak, SK Padang Serai di Manjung dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di Perak Tengah. – BERNAMA

BACA JUGA
Aktivis MAPIM bertindak segera bantu ummah di Bangi Lama

Bersama kami membantu mangsa yang terkesan akibat banjir melalui sumbangan infaq menerusi

TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
Akaun Maybank 562263540066

atau layari www.bantuummah.com

HOTLINE MAPIM MALAYSIA

Jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button