JEDDAH : Malaysia terkecuali daripada senarai 20 negara yang dilarang memasuki Arab Saudi.
Larangan terpakai kepada para ekspatriat itu dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi, kelmarin untuk membendung penularan COVID-19.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada para diplomat, kakitangan perubatan dan keluarga mereka, dari pukul 9.00 malam (waktu Saudi) pada Rabu (3 Feb), seperti yang dilaporkan Arab News.
Dua puluh negara itu adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Lubnan, Turki, Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis, Itali, Ireland, Portugal, Switzerland, Sweden, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, India, Indonesia, Pakistan dan Jepun, menurut laman Arab News.
Larangan itu juga dikenakan ke atas para pengunjung yang melakukan persinggahan atau transit melalui 20 negara tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum lawatan yang dirancang ke Arab Saudi.
Ramai pengunjung melakukan persinggahan melalui Dubai dari negara-negara yang tidak mempunyai penerbangan langsung ke Arab Saudi, satu pilihan yang tidak lagi tersedia.
Langkah terbaru itu diambil di tengah-tengah kenaikan jumlah kes COVID-19 yang dikaitkan dengan jenis-jenis koronavirus yang kali pertama dikesan di England, Afrika Selatan dan Brazil serta kebimbangan bahawa vaksin yang disediakan di merata dunia mungkin kurang berkesan melawan varian-varian tersebut, menurut laporan Arab News.
Britain mula melakukan ujian COVID-19 dari rumah ke rumah ke atas 8,000 orang pada Selasa (2 Feb) dalam usahanya untuk membendung penularan varian dari Afrika Selatan yang lebih mudah berjangkit dan terdapat kenaikan jumlah kes varian England di Sweden.
Para pegawai kesihatan Arab Saudi minggu ini memberi amaran bahawa langkah-langkah lebih ketat diperlukan untuk membendung penularan virus tersebut jika masyarakat awam terus melanggar peraturan jarak sosial dan larangan mengadakan perhimpunan besar-besaran.
Arab Saudi melaporkan 310 kes COVID-19 pada Rabu, hampir empat kali ganda berbanding sebulan lalu.
Penerbangan-penerbangan ke Arab Saudi dan keluar dari negara itu digantung buat sementara pada 14 Mac 2020, dua minggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan virus itu sebagai pandemik.
Kemasukan ke Arab Saudi menerusi perjalanan udara, darat dan laut disambung semula pada 3 Januari. – AGENSI