Covid19Semasa

Malaysia terima dua lagi jenis vaksin

Johnson & Johnson dan Sinopharm bakal memasuki Malaysia

KUALA LUMPUR : Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kali ke-361 bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju meluluskan pendaftaran bersyarat menggunakan dua lagi produk vaksin Covid-19 di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata dua jenis vaksin terbaharu meliputi Sinopharm dan Johnson & Johnson (J&J).
Ini merupakan vaksin kelima yang diterima Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai imuniti kelompok.
Tambah Noor Hisham, COVILO merupakan vaksin yang dibangunkan oleh China National Biotec Group Company Limited (CNBG), Sinopharm, yang juga dikenali sebagai vaksin Covid-19 Sinopharm.
Selain itu, vaksin J&J keluaran Janssen Pharmaceutica N.V., Belgium merupakan jenis pelali yang hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja.
“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya.
Beliau berkata, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

Related Articles

Back to top button