Semasa

Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

KUALA LUMPUR – Malaysia menyerahkan sumbangan berbentuk peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik Covid-19.

Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono melalui pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan selebihnya akan dihantar secara berperingkat.

Menurut Saifuddin, bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik Covid-19.“

Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

“Malaysia dan Indonesia tidak terkecuali daripada berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak Covid-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya.

Berpaksikan kepada semangat serumpun serta hubungan yang kukuh antara kedua-dua negara, peralatan dan bekalan perubatan seperti tangki ISO oksigen beserta cecair oksigen, oxygen concentrators, ubatan therapeutic dan kelengkapan perubatan pakai buang akan disampaikan kepada Indonesia.

Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

Sementara itu, Hermono berkata, kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

“Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan Covid-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button