KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk bekerjasama dengan negara ASEAN dan tidak bergerak sendiri dalam usaha menghentikan pengusiran etnik Rohingya dari Myanmar.
Menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, ASEAN mempunyai pengaruh yang besar bagi mengubah Myanmar menjadi sebuah negara demokrasi seperti yang dimandatkan rakyatnya menerusi pilihan raya.
Pada 24 April lalu, pertemuan tergempar dijalankan bersama wakil tentera Myanmar bagi membincangkan isu berkenaan.
Ujar beliau, ASEANĀ sedang melaksanakan Konsensus Lima Perkara bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar.
“Kita telah diberi taklimat oleh utusan khas bahawa Naypyidaw tidak memberikan kerjasama mengenai Konsensus Lima Perkara, pada mesyuarat Menteri Luar ASEAN, kelmarin.
“Justeru, Malaysia berpendapat, sukar untuk mengundang Ketua Tentera sedang berkuasa di Naypyidaw menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini, jika tiada kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
“Namun, proses melaksanakan Konsensus Lima Perkara masih diusahakan dengan ‘whatever is humanly possible’ oleh utusan khas (Myanmar),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin turut berkata, Malaysia sentiasa menjadi negara pertama menjalankan libat urus konstruktif bagi menyelesaikan isu Rohingya.
Katanya, di peringkat ASEAN, Malaysia merupakan negara yang paling konsisten dan lantang menyuarakan isu pelarian Rohingya.
“Kira-kira 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia ketika ini.
“Malaysia juga melihat kebertanggungjawaban atau akauntabiliti ke atas pengusiran etnik Rohingya ini dapat dicapai melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Etnik Rohingya mungkin akan mendapat pembelaan sewajarnya dan pengusiran serta pencabulan hak asasi etnik berkenaan boleh dihentikan,” katanya.
Selain itu, Malaysia antara negara yang menyokong kuat usaha ASEAN dalam memudah cara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar.
Oleh Nurshazlin Shahrom