DomestikSemasa

Malaysia kekal pendirian berkecuali terhadap isu perang Ukraine-Rusia

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kedudukan Malaysia tidak memihak kepada mana-mana negara dalam peperangan Ukraine-Russia.

Menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau, Ismail Sabri telah menghubungi Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan telah memberikan pandangan serta mengutuk perbuatan pencerobohan negara berdaulat.

“Antara perkara yang telah dibincangkan adalah berkenaan isu konflik Ukraine-Russia, saya dan Kishida bersetuju bahawa pencerobohan sesebuah negara kepada mana-mana negara berdaulat yang lain adalah tidak wajar dan patut dikecam sekeras-kerasnya.

“Dalam hal ini, Malaysia menyokong proses dialog dan rundingan yang berasaskan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” menurut ciapan beliau.

Beliau juga menegaskan kedudukan Malaysia sebagai ahli Gerakan Tidak Berpihak (NAM) di mana Malaysia kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana negara yang berkonflik,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri juga, beliau meminta agar kuasa-kuasa besar mengambil perhatian terhadap isu pelarian Ukraine yang kini sudah melebihi 4 juta orang.

“Saya juga menegaskan kuasa besar perlu memberi fokus kepada isu pelarian warga Ukraine yang kini sudah melebihi empat juta orang,” menurut ciapan itu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button