Malaysia kecam serangan ke Jazan, Arab Saudi
PUTRAJAYA : Malaysia mengecam keras serangan pemberontak Houthi pada 24 Disember ke atas Jazan, Arab Saudi, yang mengakibatkan kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, Malaysia merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mereka yang terjejas akibat kejadian itu.
“Malaysia menolak semua bentuk keganasan yang menggugat keamanan dan keselamatan di rantau itu. Permusuhan yang berpanjangan akan memudaratkan keamanan dan kestabilan di rantau itu,” kata kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, Malaysia akan terus menyokong usaha mencari penyelesaian secara damai dan aman bagi krisis Yaman.
Menurut berita Agensi Berita Saudi (SPA), dua orang terbunuh dan tujuh lagi cedera pada 24 Disember akibat roket dan peluru Houthi yang ditembak ke bandar Jazan di selatan Saudi.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM