Beberapa persatuan dan organisasi pro-Palestin menyeru orang ramai untuk boikot pertandingan ratu cantik ‘Miss Universe’ ke-70 yang bakal diadakan di Eilat, sebuah bandar Palestin yang kini dijajah Israel.
Lapor Quds Network, wakil ‘Miss Universe’ dari Malaysia dan Indonesia mengambil keputusan menarik diri dan memboikot pertandingan tersebut.
Sementara itu, cucu kepada bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela iaitu Inkosi Zwelivelile Mandla Mandela, menggesa peserta ratu cantik lain untuk mengikut jejak langkah Malaysia dan Indonesia.
“Tidak ada yang indah tentang penjajahan, kekejaman dan diskriminasi yang dilakukan terhadap rakyat Palestin,” tegasnya.
Di samping itu, Mandla menyeru negara-negara Afrika untuk menarik diri daripada pertandingan yang dianjurkan di Israel itu sebagai tanda protes terhadap keputusan Kesatuan Afrika baru-baru ini untuk memberikan status pemerhati kepada ‘Israel’.
Sebelum ini, ratu cantik dari Afrika Selatan pernah menerima kecaman dan diskriminasi kerana menyertai pertandingan ratu cantik.
This is how ‘apolitical’ @Official_MissSA was during apartheid SA. They didn’t ALLOW black women to participate in Miss Universe – didn’t stand up against apartheid then, and they aren’t standing up against apartheid in Israel now #BoycottMissUniverse #BoycottIsrael @Africa4Pal pic.twitter.com/HwvPzUhcjc
— #FreePalestine 🇵🇸 🇿🇦 (@Zagsterr) November 10, 2021
Baginya layanan yang diterima peserta sebelum ini sama seperti apa yang dirasai rakyat Palestin kini.
Bagaimanapun, wakil ratu cantik dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Morocco merupakan satu-satunya peserta dari negara Arab yang mengambil bahagian secara aktif susulan normalisasi hubungan antara kerajaan Arab dan Israel pada tahun 2020.
Selain itu, beberapa pihak menyifatkan anjuran pertandingan sebegini merupakan strategi Israel mengalih perhatian penduduk dunia mengenai hak pencabulan asasi manusia dan kekejaman mereka terhadap rakyat Palestin.
“Sememangnya rejim Zionis berusaha selama bertahun-tahun untuk mengadakan festival dan acara propaganda sedemikian untuk menutup kekejaman mereka.” lapor Quds Network.
Terdahulu, pada Julai, Israel mengumumkan bakal menjadi tuan rumah pertandingan ratu cantik ‘Miss Universe’ untuk kali pertama, yang dijadualkan berlangsung di sebuah resort di Eilat, Laut Merah.
Oleh Nurshazlin Shahrom