“Makcik teringin nak tengok hadiah yang kamu bawa, kalaulah Allah izinkan makcik untuk melihat semula..”
Terima kasih rakyat Malaysia yang menginfakkan sumbangan untuk asnaf
SABAK BERNAM : Misi Jelajah Ummah bantu Ummah diteruskan pada hari kedua di sekitar Kampung Banting. Tim media MAPIM Malaysia bergerak menjadi bayang-bayang kepada Pengarah Domestik, Misi Ummah Bantu Ummah, Tuan Haji Faris Hussain. Merakam dan mencatat setiap cerita di sebalik setiap rumah yang bakal disantuni oleh Haji Faris.
Kami tiba di Jalan Bumi Hijau, Kampung Banting lebih kurang jam 12 tengah hari. Seorang lelaki separa usia sedia menanti dengan motosikal di tepi jalan menyambut ketibaan kami. Beliau adalah Tok Sidang Kampung Banting, Tuan Haji M Rosly Mohd Shahrani.
Kami singgah di halaman rumah Haji M Rosly bagi menurunkan 60 kotak bantuan untuk diedarkan kepada golongan asnaf di kawasannya. Sambil memunggah, sempat Haji M Rosly berkongsi pengalamannya dalam misi bantuan banjir ke Pahang baru-baru ini. Daripada penceritaannya, kami menyimpulkan yang beliau adalah seorang ketua yang prihatin kepada aktiviti kemasyarakatan dan sedia berkhidmat walau pun di mana pun takdir membawanya.
Lima rumah telah disenarai pendek oleh Tok Sidang untuk diziarahi bersama Ketua Misi kami. Pelbagai latar belakang, pelbagai cerita, ada ibu ‘tinggal’ yang suaminya entah di mana, atuk yang menjadi O.K.U sekelip mata akibat dilanggar lori, ibu lumpuh yang tinggal di rumah usangnya seorang diri tetapi ada 10 orang anak di bandar dan banyak lagi kisah pilu.
Rumah terakhir pada hari ke-dua misi ini menyentuh hati kami.
Makcik Rokinah Haji Amran, 70 tahun diduga oleh Allah SWT dengan ujian penglihatan. Nikmat pancaindera penglihatan yang pada mulanya kabur tanpa rasa sakit, bertukar menjadi gelap gelita sejak dua tahun lalu. Makcik Rokinah disahkan mengidap katarak, penyakit yang biasanya menyerang disebabkan faktor usia dan penghidap diabetes.
“Makcik, kami datang atas dasar kasih sayang, menziarah ibu-ibu kita, kita semua bersaudara. Ini sumbangan yang kami bawakan sekali hasil sumbangan penginfak. Ada toto, bantal, minyak, beras, periuk, dapur gas, cerek dan ‘pelitup muka’ untuk kegunaan jika ingin keluar dari rumah,” jelas Haji Faris.
Makcik Rokinah mula mengesat air matanya.
“Maafkanlah makcik, saya tak boleh nampak kamu semua, cuma boleh mendengar suara sahaja. Makcik sangat gembira, nak tengok kamu semua tapi tak nampak, nak tengok pemberian kamu tapi tak nampak.”
Sebak suara Makcik Rokinah.
Rumah kecil ini didiami Makcik Rokinah bersama anak tunggal lelaki, empat orang cucu dan menantu kesayangannya. Menantunyalah yang menguruskan segala keperluan dan memelihara Makcik Rokinah yang uzur ketika anak lelakinya keluar mencari rezeki.
“Puan menantu yang hebat, tak semua orang mampu buat sepertimana yang Puan buat.”
Puji Haji Faris kepada menantu Makcik Rokinah.
Sebelum kami beransur keluar dari rumah untuk ke lokasi pengedaran yang seterusnya, Makcik Rokinah sempat menyuarakan doa buat pasukan MAPIM dan rakyat Malaysia yang menginfakkan sumbangan.
“Kalau makcik tak dapat balas, mungkin satu hari nanti cucu-cucu makcik akan balas jasa baik anda semua..” Dengan nada terharu.
MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300 & RM500 untuk pelbagai bantuan meliputi makanan, pembaikan rumah asnaf dan juga perkhidmatan sokongan perubatan menerusi mobile klinik. Sumbangan boleh dibuat melalui:
www.BantuUmmah.com
ATAU
menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066
MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016
Berita oleh ADLI EFFENDY