KerohanianSemasa

MAIS iktiraf pernikahan hanya jika berdaftar dengan JAIS

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak mengiktiraf mana-mana pernikahan pasangan tempatan di luar negara sekiranya pasangan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam, setiap pasangan yang gagal mendaftar tetap tidak diiktiraf, dan ia sekali gus akan menimbulkan pelbagai masalah lain pada masa akan datang.

“Contohnya seperti urusan anak hendak berkahwin, susah jika perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan dan diiktiraf di Selangor…begitu juga berkaitan pembahagian harta pusaka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Program Sumbangan Pasca Banjir MAIS serta anak syarikat ke Terengganu dan Kelantan di sini, pada Ahad.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika Program Sumbangan Pasca Banjir MAIS serta anak syarikat ke Terengganu dan Kelantan pada Ahad

“Ruang untuk bernikah di Malaysia terbuka luas, tiada masalah, malah kita juga mengadakan kursus perkahwinan yang tidak dilakukan oleh mana-mana negara, paling kurang pun mereka bertanya soalan rukun nikah atau tiada apa-apa,” tambahnya.

Selain itu katanya Selangor juga tidak mengiktiraf apa-apa jenis pakej pernikahan di luar negara termasuk Thailand dan Indonesia.

Menurut firma guaman syarie, Nur Hafiz & Associates yang mengendalikan laman web sukapeguamsyarie sekiranya berkahwin di luar negara tanpa kebenaran Pejabat Agama, pasangan yang berkahwin itu boleh dikenakan denda dan dipenjara bagi kesalahan-kesalahan berikut:

  • Pernikahan di luar kawasan tanpa kebenaran (penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)
  • Poligami tanpa kebenaran (penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)
  • Mendaftarkan pernikahan selepas 6 bulan (penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)

Pendaftaran nikah di luar negara hanya boleh dibuat setelah mendapat pengesahan dari Mahkamah Syariah.

Selagi Mahkamah Syariah tidak memberi pengesahan, pernikahan itu tak boleh didaftarkan di Malaysia dan pasangan itu tidak diiktiraf oleh undang-undang syariah Malaysia sebagai pasangan yang telah berkahwin.

“Kesannya agak berat. Contohnya, anak yang lahir melalui perkahwinan ini akan menghadapi kesukaran untuk didaftarkan dengan JPN dan susah untuk mendapatkan surat beranak. Selain itu, apa-apa masalah dalam perkahwinan ini tak boleh dibawa ke Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah,” jelas firma guaman syarie itu.

Pendaftaran kahwin di Malaysia memerlukan dokumen yang cukup untuk meyakinkan hakim bahawa pernikahan di luar negara itu adalah sah.

Surat nikah, surat dari Majlis Agama contohnya Songkhla dan surat pengesahan dari Konsulat Malaysia adalah diantara dokumen penting untuk membuktikan bahawa perkahwinan itu adalah sah.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button