KEPALA BATAS: Sindiket Macau Scam berjaya memperdaya dua pesara sehingga berlaku kerugian sebanyak RM390,500.
Dalam kes pertama, mangsa menyerahkan maklumat perbankan miliknya kepada individu yang menggelarkan dirinya pendakwa raya dan mangsa kehilangan wang simpanan sebanyak RM148,000, manakala seorang lagi mangsa ditipu oleh suspek yang mendakwa dirinya sebagai ejen insurans sehingga mengalami kerugian RM242,500.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pendakwa raya dan menyatakan mangsa terlibat dengan rasuah.
“Mangsa diminta memberikan kerjasama bagi mengelak ditangkap dan pada masa sama turut dimaklumkan terbabit kes jenayah pengubahan wang haram.
“Wanita itu mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun terbabit bagi tujuan siasatan, serta mengelak wang berkenaan dirampas.
“Mangsa yang ketakutan menuruti arahan dan memberikan maklumat perbankan terbabit, sebelum menyedari wang RM148,000 yang dimasukkan ke dalam akaun lesap dengan pengeluaran dilakukan secara berperingkat,” katanya yang mengesahkan laporan polis tersebut.
Dalam satu lagi kes, Mohd Radzi berkata persara tersebut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyatakan dirinya seorang ejen insrurans dan mendakwa mangsa terlibat dengan kes dadah dan tuntutan palsu insurans.
“Bagi mengelakkan ditangkap, mangsa diminta mengaktifkan semula akaun bank dan meletakkan wang jaminan RM280,000 ke dalam akaun itu.
“Mangsa menuruti arahan dengan memindahkan wang simpanan serta pinjaman berjumlah RM242,500 dan memberikan maklumat perbankan kepada suspek.
“Mangsa menyedari tertipu apabila cuba mendapatkan baki wang seperti diminta suspek daripada ahli keluarganya, sebelum semakan dibuat dengan pihak bank mendapati semua wang dalam akaun terbabit sudah dikeluarkan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara menasihatkan agar tidak memberi sebarang maklumat perbankan bagi mengelakan akaun bank diceroboh sindiket penipuan, selain berhati-hati dengan panggilan telefon dari individu yang mengaku sebagai agensi swasta atau kerajaan berkaitan kesalahan jenayah.
Beliau berkata, bagi kes ini polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today