KerohanianSemasa

Maal Hijrah: Sudah Berhijrahkah Kita?

Oleh Hafiz Hanafiah, wartawan pelatih

Di Malaysia, program sambutan Maal Hijrah akan diraikan pada setiap tahun. Pada tahun ini, 1 Muharram 1444H (Awal Muharram) jatuh pada Tarikh 30 Julai 2022 iaitu pada Hari Sabtu yang lalu. Tema Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini adalah “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”. Manhaj Rabbani merupakan satu instrumen yang sesuai diguna pakai untuk melahirkan ummah yang berkualiti.

Persoalannya disini, adakah kita benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan Hijrah. Adakah sambutan ini hanya disambut sekadar memberi anugerah kepada tokoh-tokoh yang banyak  berjasa pada negara tetapi kita tidak menjadikannya sebagai inspirasi untuk berhijrah ke arah yang terbaik.

Artikel ini akan membincangkan definisi hijrah, pembahagian hijrah dan cara untuk mendapatkan semangat roh hijrah hingga mampu dijelmakan dalam kehidupan sanubari kita dan dapat berhijrah ke arah terbaik mengikut penjelasan dari portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

Definisi Hijrah

Pada bahasa, ia memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah SAW menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu adalah dengan meninggalkan larangan Allah SWT.”

Dari segi istilah, ianya dapat difahami melalui:

  • Berpindahnya Rasulullah SAW daripada Mekah menuju ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda. Perpindahan ini kerana semata-mata agama dan bukan membabitkan laba dan keuntungan duniawi.
  • Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika niatnya kerana Allah, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syara’.
  • Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Asal perkataan hijrah ialah meninggalkan negara syirik dan berpindah ke negara Islam, sepertimana para Muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Mekah ke Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke bumi Habsyah yang diperintah oleh al-Najasyi.”

Pembahagian Hijrah

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah membahagikan hijrah kepada beberapa jenis. Ini yang dinyatakan oleh Ibn Daqiq al-‘Aid iaitu nama perkataan hijrah diberi kepada beberapa bahagian atau perkara:

  • Hijrah pertama ke Habsyah ketika golongan kufar menyakiti para sahabat.
  • Hijrah kedua dari Mekah ke Madinah.
  • Hijrah ketiga iaitu hijrah pelbagai kabilah dan kaum kepada Nabi SAW untuk mempelajari hukum syara’. Kemudian mereka pulang ke halaman masing-masing dan mengajar kaum mereka sendiri.
  • Hijrah keempat iaitu hijrah bagi siapa yang memeluk Islam di kalangan penduduk Mekah datang mengunjungi Nabi SAW kemudian pulang semula ke Mekah.
  • Hijrah kelima iaitu sesiapa yang berhijrah daripada segala larangan Allah. (Lihat Ihkam al-Ahkam, 1/11)

 

Ibn Qayyim al-Jauziyah pula menyebut: Hijrah terbahagi kepada dua:

  • Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
  • Hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah kepada cinta kepada-Nya. Daripada Ubudiyyah selain-Nya kepada Ubudiyyah Allah. (Lihat al-Risalah al-Tabukiyah, hlm. 24-25)

 

Cara Untuk Mendapatkan Semangat Roh Hijrah Hingga Mampu Dijelmakan Dalam Kehidupan Sanubari Kita?

Antaranya perkara yang boleh kita perhalusi dan bermuhasabah dengannya dalam menyemarakkan lagi semangat hijrah menurut Dr Zulkifli al-Bakri ialah:

  • Hati dan nawaitu bagaimana kita mentahqiqkan ubudiyyah yang mutlak kepada yang Maha Esa dalam menjalani kehidupan ini.
  • Pembuangan segala sifat mazmumah seperti hasad dengki, tamak haloba dan digantikan dengan segala sifat mahmudah yang dianjurkan oleh agama Islam.
  • Prestasi ibadah kita adakah masih pada tahap yang sama sejak dahulu lagi atau terdapat peningkatan sama ada dari segi khusyuknya, ikhlasnya dan benar mengikut sunnah Nabi SAW dalam pengamalan ibadah tersebut.
  • Sistem muamalah yang dengannya sentiasa kita berinteraksi dalam masyarakat untuk urusan harian apakan menepati piawaian syarak yang selamat dari unsur riba, khianat, penipuan dan sebaliknya mengikut system Islam.
  • Berhubung dengan kekeluargaan Islam, apakah ia benar-benar menjadi bayt muslim yang melahirkan sakinah, mawaddah, rahmah seterusnya melahirkan zuriat soleh dan solehah yang menjadi khalifah Allah di muka bumi.
  • Mustafa al-Siba’ie berkata: “Sesungguhnya tentera yang benar lagi ikhlas amat memerlukan kepimpinan yang baik. Natijahnya dia sanggup berkorban untuk pemimpinnya, ini kerana jika selamatnya pemimpin maka selamatlah dakwah.”
  • Hubungan sesama masyarakat dari yang paling hampir seperti jiran tetangga, rakan taulan, pemimpin dan rakyat hatta siapapun dia, adakah menepati seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mengasaskan kerajaan Islam yang pertama di Madinah.
  • Meletakkan Piagam Madinah sebagai perlembagaan merupakan satu jaminan bahawa sebarang tindakan mesti mengikut lunas undang-undang. Lantas memberikan hak semua warganegara hatta dikalangan orang Yahudi dan bukan Islam sekalipun
  • Memperkasakan peranan masjid. Masjid bukan hanya terbatas sebagai tempat beribadat sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan dalam bentuk yang lebih syumul lagi menyeluruh. Antaranya:
  • Tempat ibadat seperti solat, zikir dan membaca al-Quran.
  • Tempat mempelajari ilmu. Bahkan masjid merupakan university pertama yang melahirkan graduan pahlawan dan pendakwah yang membuka hati-hati hamba dan negeri dengan dakwah Islam. Justeru itu, ia dianggap sebagai Madrasah Nubuwwah dan menara ilmu.
  • Tempat syura (bermesyuarat) atau perbincangan. Dslam istilah moden, ia kelihatan seperti parlimen bagi mendapatkan maklumat dan buah fikiran yang terbaik.
  • Sebagai pusat jaringan takaful dan tolong-mennolong sesama Muslim. Ketika itu, terbinalah masyarakat yang begitu kukuh dan ampuh hubungan ukhuwwah Ini kerana sikap yang kaya menolong golongan yang miskin dan yang susah dibantu akhirnya akan terbentuk rasa hormat dan kasih-sayang.

Sebagai kesimpulan, kita akan mendapati bahawa hijrah membawa impak yang sangat besar dalam kehidupan seluruh manusia dengan cara penuh penghayatan terhadap makna hijrah itu sendiri.  Sekiranya kita semua menghayati perkara tersebut, maka kita akan sentiasa berusaha untuk berubah atau berhijrah ke arah terbaik dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikon, tauladan dan idola untuk berhijrah.

“Sesungguhnya hijrah adalah sepenting-penting peristiwa dalam tarikh dakwah islamiyah, Ini kerana dengannya terbentuk kuasa politik bagi umat Islam dalam menyebarkan agamanya serta mempertahankan kemuliaannya” kata Dr Muhammad Abu Faris iaitu seorang Tokoh Ulama’ di Jordan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button