Semasa

Ma’al Hijrah 2021 : Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti

Inspirasi daripada Nabi Muhammad SAW

Satu Muharram merupakan hari pertama dalam tahun baru Islam mengikut Kalendar Hijrah. Bulan Muharram merupakan antara bulan yang signifikan untuk umat Islam kerana berlakunya peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. 

Peristiwa hijrah itu menjadi asas takwim Islam, sekali gus membentuk falsafah kepada kehidupan umat Islam, iaitu pemisahan antara hak dengan batil.

Tarikh penting ini bukan sekadar memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Mekah ke Madinah, ia juga memaparkan hikmah yang cukup besar apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, lantas Islam mula berkembang dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.” (Surah al-Taubah, ayat 36)

Sambutan Maal Hijrah di Malaysia pada tahun ini membawakan tema Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti. Ia disambut secara sederhana untuk tahun kedua memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Tema ini bagaikan suatu motivasi kepada ummah untuk meletakkan nilai ‘Rabbani’ iaitu menjadikan Allah SWT segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi getir dan sukar. Ia diinspirasikan daripada sifat dan sikap Nabi Muhammad SAW itu sendiri.

Antara sifat mulia Nabi Muhammad SAW yang wajar diikuti ialah bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur, dipercayai dan juga bijaksana dalam menyampaikan dakwah.

Sekiranya kita membaca sirah Nabi Muhammad SAW, jelas menunjukkan Baginda sebagai seorang pemimpin yang beretika tinggi dengan akhlak yang mulia merangkumi sifat-sifat integriti, kejujuran dan amanah dan ia begitu sebati sehingga Baginda diberi gelaran ‘Al-Amin.’

Dalam aspek pentadbiran dan pembuatan keputusan, Nabi Muhammad SAW mengamalkan sikap terbuka dan sentiasa mendengar buah fikiran ramai menerusi konsep ‘syura.’

Nabi Muhammad SAW  sangat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kehebatan Allah SWT, yang menjadikan Baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementingkan diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan. 

Nabi Muhammad SAW sentiasa menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dan semua itu bertujuan bagi mewujudkan persekitaran yang dapat merangsang sebuah pentadbiran negara yang beretika dengan nilai-nilai yang murni.

Ciri-ciri kepimpinan ini telah berjaya membentuk sebuah negara Islam yang dijulang tinggi dan disegani. Nabi Muhammad SAW adalah merupakan sebaik-baik ‘role model’ untuk diteladani dan diikuti oleh seluruh umat Islam di muka bumi ini.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button