ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menghantar 24,000 kampit beras bernilai RM300,000 untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terkesan di negeri Kelantan dan Terengganu.
Dalam titah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin selepas melancarkan majlis pelepasan konvoi Misi Bantuan Banjir di Perkarangan Stadium Darul Aman, hari ini, baginda berharap bantuan dari Kedah itu sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan asas mangsa bencana di 2 negeri berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, 12,000 kampit beras 5 kilogram (kg) akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan manakala 12,000 kampit beras lagi akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Tambahnya lagi, 49 pegawai dan anggota dari LZNK, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menyertai konvoi yang melibatkan 15 kenderaan itu dalam misi bantuan banjir berkenaan.
Misi bantuan ini turut mengumpul dana secara ‘crowdfunding‘ melalui portal AsnafCare Lembaga Zakat Negeri Kedah.
BACA JUGA
MAPIM Rangers gembleng tenaga bantu mangsa banjir di Tumpat