Luaskan jaringan kaedah perniagaan atas talian, atasi gangguan teknikal
Seluruh dunia dikejutkan dengan isu permasalahan gangguan dalam penggunaan tiga aplikasi sosial media gergasi iaitu Facebook, Instagram dan Whatsapp sehingga menjejaskan urusan harian pelbagai pihak.
Gangguan perkhidmatan yang bermula pada jam 11:30 malam waktu Malaysia itu mengambil masa selama enam jam untuk pulih kembali.
Tempoh enam jam itu cukup lama untuk mereka yang menjalankan perniagaan atas talian dan bergantung sepenuhnya kepada ketiga-tiga medium itu bagi menarik pelanggan.
Ummah Today berjaya menemu bual Azizul Rahman Mohd Basir, Ketua Pegawai Eksekutif Connecta Sdn Bhd, bagi mengulas mengenai alternatif lain untuk peniaga atas talian supaya lebih bersedia berdepan dengan masalah ini pada masa hadapan.
Menurut Azizul, pengguna media sosial ini boleh diklasifikasikan kepada dua, iaitu pertama kegunaan peribadi (‘personal use’) dan kedua peniaga atas talian.
“Dalam keadaan tersebut kejadian yang berlaku malam tadi memberikan kita lesson learnt atau pengajaran.
“Yang mana apabila kita jalankan perniagaan terutamanya di jaringan media sosial percuma ini, kesannya amat besar.
“Pada masa yang sama kita kena tahu Facebook, Instagram dan Whatsapp berada di bawah naungan syarikat yang sama.” katanya.
Tambah beliau, Facebook kini berdepan dengan pelbagai pemeriksaan dan terdedah kepada pendedahan maklumat (whistleblower) sehingga timbul beberapa kes dibawa ke mahkamah atas dakwaan pencabulan data peribadi pengguna.
Susulan itu, Azizul menasihatkan para pengguna media sosial terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan atas talian bagi mencari alternatif dan platform lain untuk menjalankan perniagaan.
Tidak dinafikan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Whatsapp ini merupakan saluran yang terbaik ekoran kebolehcapaian kepada pelanggan sangat besar. Namun, ia bukanlah tempat kebergantungan utama untuk peniaga menjalankan perniagaan.” – Azizul Rahman Mohd Basir, Ketua Pegawai Eksekutif Connecta Sdn Bhd
“Peniaga seharusnya mencari kaedah dan platform yang betul bagi menjalankan pemasaran perniagaan. Hal ini kerana, impaknya amat besar kepada peniaga atas talian jika insiden yang sama terjadi,” ujar beliau.
Beliau turut mencadangkan kepada peniaga bagi merangka serta mewujudkan pelbagai saluran yang tersedia di platform media.
Di samping, meneroka saluran omni (omni channel) dengan menggabungkan saluran yang menggunakan media sosial dan saluran fizikal di mana, penggunaan kaedah seperti emel dan nombor telefon.
“Gabungkan kedua kaedah ini dalam perniagaan supaya interaksi bersama pelanggan tidak terputus dan tidak berngantung hanya kepada satu media sahaja sebagai persediaan pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Nurshazlin Shahrom