Semasa

Letusan Gunung Semeru : Tahap amaran dipertingkatkan

JAKARTA : Letusan Gunung Semeru di Jawa Timur telah mencetuskan kebimbangan mengenai gunung berapi lain di Indonesia yang menempatkan lebih 270 juta orang.

Menurut laporan status gunung berapi Pusat Tebatan Bencana Vulkanologi dan Geologi (PVMBG), tiga gunung berapi lain meningkatkan tahap amaran mereka kepada tahap tiga iaitu kedua tertinggi dalam seminggu selepas letusan Gunung Semeru.

Gunung Merapi di sempadan Jawa Tengah dan Yogyakarta juga merupakan antara gunung berapi yang paling aktif seperti Gunung Sinabung di Sumatera Utara dan Gunung Lewotolok di Nusa Tenggara Timur (NTT).

Sementara itu, Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Jawa kekal pada amaran tahap dua bersama sembilan gunung berapi Indonesia yang lain.

Menurut Agensi Tebatan Bencana Negara (BNPB), letusan terbaharu bermula pada 4 Disember berhampiran Gunung Semeru dan setakat semalam, 46 orang telah disahkan maut manakala sembilan lagi masih hilang dan ratusan keluarga terpaksa melarikan diri.

Menurut Ketua Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Teknologi Bencana (BPPTKG),Hanik Humaida, Gunung Merapi meletupkan awan panas mencecah radius dua kilometer (km) semalam.

“Awan abu panas memuntahkan lahar tiga kali semalam pada jam 10.18 pagi (waktu tempatan),” katanya.

BPPTKG telah memberi amaran kepada penduduk kampung supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan berbahaya kerana sebarang letusan boleh mengakibatkan bahan muntah itu tersebar sejauh tiga kilometer.

Dalam radius lima kilometer dari puncak gunung, tiada aktiviti pelancongan dibenarkan dan semua perlombongan adalah dilarang.

Sementara itu, jabatan volkanologi memberitahu, kabus tebal dan intensiti tinggi telah dilaporkan di Gunung Sinabung.

Penduduk tempatan dan pengunjung dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam jarak tiga kilometer dari puncak gunung itu.

Berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi, PVMBG menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di luar bagi mengelak terhidu abu dan penduduk di sepanjang tebing sungai gunung itu diberi amaran supaya berhati-hati dengan aliran lahar.

Gunung Sinabung yang berketinggian 2,460 meter di atas paras laut meletus buat kali pertama dalam tempoh ratusan tahun pada Ogos 2010.

Letusan terbaharu Gunung Sinabung berlaku pada 2018 dan tidak ada aktiviti gunung berapi yang mengancam nyawa sejak itu.

Puncak Gunung Lewotolok diselubungi jerebu setakat semalam dan kawah itu kelihatan putih kerana asap putih tebal memenuhinya.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button