SemasaSyria

Letupan di simpanan peluru berpandu pro-Iran di Syria

BEIRUT: Letupan kuat kedengaran dari tempat simpanan peluru berpandu militia pro-Iran di timur ibu kota Syria Damsyik sebelum Subuh semalam, kata seorang pemantau perang lapor media antabangsa AFP.

Letupan kuat didengari penduduk wilayah Damsyik dikatakan berpunca dari gudang militia pro-Iran di kawasan pergunungan di timur ibu negara, lapor Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, agensi yang bergantung pada rangkaian sumber luas di dalam Syria.

“Kami tidak tahu ia dari serangan udara atau operasi darat,” kata Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman kepada AFP.

Rami Abdel Rahman, Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria

Selama lebih sedekad perang di Syria, israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria, yang meletakkan sasaran utama kepada tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah, serta kedudukan tentera Syria.

Sementara itu, agensi berita rasmi Syria SANA berkata, letupan itu kedengaran pada waktu malam di pinggir Damsyik.

Isnin lalu, 4 askar Syria dan 2 pejuang yang disokong Iran terbunuh dalam serangan udara israel sebelum Subuh berhampiran Damsyik, dalam serangan udara maut terbaharu israel ke atas ibu negara Syria yang terus dilanda perang.

Serangan udara itu menyasarkan tentera rejim Syria, serta kedudukan tentera dan depot senjata yang digunakan oleh kumpulan bersenjata yang disokong oleh Tehran, menurut sebuah badan pemantau.

Dengan sokongan Iran dan Russia, kerajaan Presiden Syria Bashar al-Assad merampas kembali sebahagian besar wilayah yang hilang kepada pemberontak pada awal konflik, yang tercetus pada 2011 dan menarik kuasa asing dan pejuang jihad global.

Rejim israel jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukannya ke atas sasaran di Syria, tetapi ia berulang kali mengatakan pihaknya tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran meluaskan jejaknya di sana.

Sehingga kini, Perang Syria mengorbankan lebih setengah juta orang dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.

BACA JUGA
JAKIM serah RM3.033juta kepada mangsa gempa Turkiye-Syria melalui KLN & MAPIM Malaysia

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button