Letupan berpunca daripada Ammonium Nitrat:Aktivis MAPIM
Air mata mengalir dalam siaran langsung, kenang nasib Beirut
Ammonium nitrat didakwa menjadi punca letupan di Beirut.
Walaupun kesahihannya tidak lagi diumumkan mana-mana pihak berkuasa, punca itu dikatakan hampir kepada punca sebenar tragedi letupan di pelabuhan Beirut.
Aktivis lapangan MAPIM di Beirut, Mehieddine Seyfeddin, berkata setakat ini bahan kimia itu mempunyai kaitan dengan tragedi terbabit yang masih awal untuk dipastikan oleh pihak berkuasa.
Sekarang ini katanya, usaha mencari dan menyelamat mereka yang hilang, atau mungkin tertimbus dalam runtuhan adalah paling utama.
Pendedahan Mehieddine itu sedikit sebanyak menjawab pelbagai versi persoalan punca letupan, di antaranya bahan membuat bunga api dan serangan bom.
Sebelum itu, menurut Perdana Menteri Hassan Diab, turut mengaitkan bahan kimia seberat 2,750 tan itu yang disimpan di gudang di pelabuhan berkenaan sebagai penyebab tragedi yang memaksa 300, 000 orang hilang tempat tinggal.
Pakar kanak-kanak dan wanita, yang juga aktivis lapangan MAPIM, di Lubnan, Dr. Romzi pula menyatakan keadaan yang berlaku di Beirut kini, tidak pernah difikirkan beliau. Malah sebagai pakar perubatan beliau berkata, jumlah mangsa yang maut dibimbangi akan terus meningkat kerana kebanyakannya yang cedera adalah dalam keadaan amat teruk.
Dr. Romzi yang masih ngeri mengingati kejadian itu berkata letupan dapat didengari pada jarak 50-60 kilometer, dari rumahnya.
Kesugulan dari riak wajah kedua-dua aktivis ini jelas kelihatan, malah menampakkan rasa sedih dan terkejut mereka terhadap peristiwa yang berlaku dalam sekelip mata di tanah air mereka.
Ketika ini apa yang amat diperlukan bagi mereka ialah bantuan perubatan dari masyarakat antarabangsa termasuklah dalam menangani Covid19 apatah lagi kini dengan mangsa-mangsa kejadian letupan.
Dalam pada itu, Mehieddine juga rasa sebak, tanpa sedar mengalirkan air mata menyatakan syukur terhadap keprihatinan diterima daripada kalangan aktivis MAPIM dari Malaysia di atas apa yang menimpa mereka.
Mehieddine dan Dr. Romzi, adalah di antara wakil lapangan MAPIM dan juga mangsa letupan. Mereka menzahirkan rasa syukur, kerana terselamat dalam tragedi ini.
Rasa terpanggil untuk mengetahui sendiri cerita dari lokasi kejadian, MAPIM Malaysia malam tadi mengadakan siaran langsung terus dari Beirut membawakan beberapa aktivis lapangan dari Beirut dan juga mereka yang pernah menyertai misi kemanusiaan bersama MAPIM di Lubnan seperti Heliza dan Hazwani Helmi.
Heliza dan Hazwani Helmi, berkongsi rasa terkejut dan tergamam melihat kemusnahan dahsyat ke atas bandar yang pernah mereka lawati itu. Keindahan dan kesibukan ibu kota Lubnan itu kini musnah secara total, dan berubah 360 darjah daripada landskap yang pernah mereka nikmati dan tinggal seketika ketika misi-misi sebelum ini.
Siaran langsung ini dihoskan oleh Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery, dari Wisma MAPIM dan mendapat hampir 100,000 tontonan.
Dalam siaran itu (Dr.) Sani menyatakan rasa terkilan kerana tidak dapat membantu wakil lapangan MAPIM di Beirut kerana keterbatasan pandemik Covid19, yang menghalang keberadaan pasukan MAPIM di lokasi kejadian, namun beliau tetap akan memikirkan bantuan yang terbaik kepada mangsa.
Malaysia, katanya sentiasa bersama-sama dengan rakyat Lubnan, khususnya di Beirut. Rasa simpati beliau dizahirkan kepada mangsa-mangsa yang terkorban.
Bagi (Dr. ) Sani, MAPIM turut menzahirkan salam takziah dan duka cita kepada seluruh rakyat Lubnan, dan berharap mangsa tabah menerima musibah ini.
Interaksi daripada penonton juga mengucapkan kata-kata simpati dan sokongan untuk bantuan secara segera kepada tabung kilat tragedi Beirut yang dilancar MAPIM dan sambutannya adalah di luar jangkaan.
MAPIM merancang menyiarkan siarang langsung dari bumi Beirut dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu aktivis lapangan MAPIM Beirut Abdul Rahman Hout juga yang pada awalnya dijadualkan berlintas langsung dalam `Live from Beirut’ ini juga juga tidak dapat dihubungi kerana liputan komunikasi yang terhad akibat pencawang telekomunikasi yang musnah di sekitar kawasan kejadian.
Kejadian letupan itu amat mengejutkan penduduk yang masih bergelut menghadapi kesan pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama menyebabkan negara itu mengalami krisis kewangan yang serius.
________________________________________________________________________________________