Lepasan IKN berpotensi tembusi kebolehpasaran negara
KUALA LUMPUR : Sebanyak 81 peratus atau 2,272 daripada 2,810 graduan Institut Kraf Negara (IKN) berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang berkaitan sejak 2001 sehingga kini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah tersebut merangkumi 1,119 orang terlibat secara langsung dalam industri kraf, 978 dalam sektor awam dan swasta manakala 175 lagi graduan melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah serta sarjana sama ada di IKN atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Ini jelas membuktikan graduan IKN mempunyai masa depan yang cerah dan mempunyai peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Konvokesyen IKN kali ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Seramai 165 graduan menamatkan Pengajian Seni Kraf di peringkat diploma, sijil, Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja diraikan dalam majlis konvokesyen ini.
Nancy dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan, Rubiah Wang, berkata graduan IKN perlu berbangga dengan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia kepada program pengajian institut itu.
“Ini menjadi penanda aras kualiti program pengajian di IKN setaraf dengan institusi pengajian tinggi lain di Malaysia, malah IKN mempunyai keunikan tersendiri dalam membentuk pelajar menghargai warisan melalui luahan imaginasi dalam melahirkan idea kreatif menerusi produk yang dihasilkan,” katanya.
Oleh Nurshazlin Shahrom