DuniaPalestin

Lelaki sindrom Down jadi mangsa kekejaman tentera Israel

BAITULMAQDIS : Satu video tular di media sosial menunjukkan tentera Israel melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki Palestin yang menghidap sindrom Down di Sheikh Jarrah telah mencetuskan kemarahan.

Dalam video tersebut, tentera Israel cuba menangkap Muhammad al-Ajlouni semasa demonstrasi yang berlaku di luar rumah keluarga Salem yang menjadi ancaman pengusiran selepas pihak mahkamah memberi kebenaran kepada penceroboh Israel untuk bertindak sedemikian.

Aljouni dilihat panik dan menjerit sebelum beberapa penunjuk perasaan Palestin mengepung tentera dan cuba membebaskan lelaki berusia 25 tahun itu.

Muhammad Dannoun, seorang paramedik di tempat kejadian, memberitahu Al Jazeera bahawa lima pasukan keselamatan memukul Aljouni dengan teruk, dan dia akan ditangkap sekiranya penduduk tempatan tidak masuk campur untuk melindunginya.

Lelaki tersebut kemudiannya dibawa keluar oleh ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin. Dannoun berkata bahawa Aljouni telah mengalami serangan panik, serta sakit di bahagian leher dan bahu akibat serangan itu.

Lelaki Palestin istimewa itu tinggal di Wadi al-Joz, kejiranan di Baitulmaqdis Timur berhampiran Sheikh Jarrah, di mana nasib keluarganya yang diancam dengan pengusiran telah mendapat perhatian antarabangsa.

Menurut saksi mata yang dipetik dalam media tempatan, dia menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan berhampiran rumah al-Saow dan Salem sebagai solidariti dengan keluarga tersebut.

Minggu lalu, penceroboh Israel menyerbu Sheikh Jarrah menjelang pembukaan semula pejabat anggota sayap kanan Knesset Itamar Ben-Gvir di atas tanah milik keluarga Palestin.

Puluhan tentera Israel mendirikan khemah di tanah keluarga Salem dan mencetuskan pertempuran dengan penduduk serta penyokong sehingga mencederakan salah seorang ahli keluarga tersebut yang berusia 73 tahun, Fatima Salem.

-AGENSI


MASA UNTUK BERTINDAK!
Sumbangan anda untuk rakyat Palestin yang menderita sangat diperlukan.

Klik :
http://tabunggaza.com

ATAU menerusi Akaun Maybank Dana MAPIM :

5628 3463 6620

MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016

Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button