NEW YORK : Seorang lelaki bersenjata senapang patah yang cuba memasuki ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah berjaya ditahan oleh Polis New York.
Menurut jurucakap polis, lelaki berkenaan ditahan pada jam 1.30 petang waktu tempatan pada Khamis.
Menurut seorang pegawai PBB, lelaki itu telah mengancam untuk membunuh diri di hadapan salah satu pintu masuk utama bangunan itu.
Bangunan tersebut serta First Avenue dan jalan-jalan di sekitar ibu pejabat PBB itu ditutup dengan helikopter dilihat terbang mengelilingi bangunan yang terletak di tengah bandar Manhattan itu.
Media tempatan melaporkan lelaki itu meletakkan senapang patahnya dan menyerah diri kepada polis.
Lelaki tersebut berusia dalam lingkungan 60-an itu dilaporkan berlegar di perkarangan bangunan tersebut dan tidak cuba untuk melintasi garisan keselamatan.
Selepas penahanannya, polis memaklumkan keadaan kembali selamat.
Kakitangan di dalam ibu pejabat PBB pada mulanya diberitahu untuk melindungi diri mereka, tetapi kemudiannya dibenarkan untuk bergerak di sekitar kompleks itu dan keluar masuk dari pintu masuk lain.
Sementara itu, jurucakap PBB Stéphane Dujarric berkata dalam satu kenyataan, “Kami berterima kasih kepada NYPD atas tindakan pantas mereka terhadap insiden itu dan kami tetap berhubung dengan mereka semasa mereka menjalankan siasatan mereka.”
“Lelaki tersebut didapati bukan kakitangan atau bekas kakitangan PBB atau ada apa-apa kaitan dengan pertubuhan itu,” katanya.
-AGENSI