KABUL : Seorang warga Afghanistan menjadikan rumahnya sebagai sekolah di wilayah selatan Afghanistan selepas semua sekolah di kawasan perkampungannya musnah akibat perang 20 tahun, yang berakhir dengan pengunduran sepenuhnya tentera Amerika Syarikat dari negara itu pada Ogos tahun lalu.
Najibullah Ishaq, 29, berasal dari kampung Tulakan, kira-kira 40 kilometer dari bandar Kandaha, menawarkan diri untuk membantu kanak-kanak dalam pendidikan.
Kanak-kanak yang hidup dalam negara yang dilanda perang mempunyai kemungkinan yang sangat kecil untuk bersekolah dan mendapat pendidikan ekoran konflik bersenjata yang berlangsung berdekad-dekad lamanya, krisis politik dan kini dalam keadaan ekonomi yang teruk.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan pada Januari, 7.9 juta kanak-kanak di Afghanistan menghadapi kesukaran dalam mengakses peluang pendidikan.
Sukarelawan Afghanistan di seluruh negara mengambil tanggungjawab untuk akses kanak-kanak kepada peluang pendidikan, dan Ishaq adalah salah seorang daripada mereka, yang telah menukar rumahnya menjadi sekolah kerana tiada bangunan yang tersedia untuk mendidik anak-anak tempatan.
Ishaq yang menjalankan perniagaan pengiklanan dan memiliki tiga anak, turut membayar gaji guru yang datang ke kampung setiap hari untuk mengajar kanak-kanak tersebut.
Beliau juga menyediakan alat tulis seperti buku nota dan pensel kepada kanak-kanak.
Sekolah itu kini mempunyai 50 pelajar yang mendaftar dan mereka belajar di atas lantai.
Ishaq memberitahu Anadolu Agency bahawa jika kewangannya bertambah baik, dia akan membaik pulih sekolah itu juga. Beliau turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan sekolah di kampungnya yang memberi pendidikan dari sekolah rendah hingga peringkat menengah.
Pelajar datang ke sekolah enam hari seminggu, dari Sabtu hingga Khamis, dan mereka cepat belajar, menurutnya.
“Saya yakin akan ada individu dalam kalangan mereka yang akan melakukan perkara yang hebat pada masa hadapan,” tegas Ishaq.