DuniaSemasa

Lee Iacocca ‘bapa’ Ford Mustang

Penyelamat Chrysler Motors

Lido Anthony ‘Lee’ Iacocca, adalah antara orang yang bertanggungjawab membangunkan dan memperkenalkan kereta Ford Mustang. Kereta yang menjadi kebanggaan untuk sesiapa yang menekan pedal minyaknya.

Dia memasuki Ford Motor Company sebagai seorang jurutera tetapi meminta dipindahkan ke bahagian jualan kerana merasakan minat dan bakatnya lebih sesuai di situ. Daripada situlah kerjayanya bersinar. Bermula sebagai jurujual kereta, kemudiannya naik menjadi pengurus jualan dan seterusnya dia berjaya menjadi Presiden syarikat Ford selama lapan tahun.

Kenapa hanya selama lapan tahun? Kerana cucu Henry Ford, Henry Ford II sentiasa merasakan dia adalah ancaman kepaadanya walaupun Lee Iaocca sudah 32 tahun bekerja di Ford Motor Company. Usianya pada waktu itu sudah 54 tahun. Antara umur yang paling selesa untuk menikmati wang persaraaan yang banyak.

Tetapi Lee Iaocca tidak memilih bersara, sebaliknya dia menyertai syarikat saingan Ford Motor Company, iaitu Chrysler Motors yang pada ketika itu sedang tenat. Ia rugi jutaan dolar kerana terpaksa menarik balik kereta Dodge Aspen dan Plymouth Volare yang bermasalah.

Di sinilah bermulanya perjuangan baru Lee Iaocca. Tetapi siapa sebenarnya Lee Iaocca?

Lee Iaocca adalah anak pendatang keturunan Itali. Ayah dan ibunya penganut Kristian yang taat, dan mendidik dia menjadi penganut yang setia dengan sentiasa ke gereja dan patuh kepada ajaran agama. Ini sangat membantunya apabila dewasa, di mana tidak ada parti liar dan tidak ada mabuk yang sampai lupa diri.

Sebagai anak pendatang, cabaran yang dia tanggung tidak sedikit. Malah nama sebenarnya Lido, ditukar menjadi Lee. Atas kerana itulah ayah dan ibunya sangat kuat bekerja. Ia menjadi contoh kepada Lee Iacocca untuk menjadi seperti mereka, kerja dan terus bekerja.

Keluarganya sempat merasai masa kelam ekonomi, semasa zaman kemelesatan tahun 1930 dan ketika zaman perang dunia kedua. Dia masih ingat ibunya terpaksa menolong ayahnya bekerja di restoran, kemudian bekerja di kilang sutera dan menjahit baju. Ibunya membuat semua pekerjaan itu dengan bangga dan megah. Itu menjadi antara prinsip dalam kerjanya, pekerjaan yang dibuat dengan bangga dan megah akan menjadikan kerja itu lebih berkualiti dan bersungguh-sungguh. Dan dia membuktikannya pada ketika mula-mula memasuki Ford Motor Company.

Bagaimana mahu menjadikan kerja itu dibuat dengan bangga? Pertamanya adalah melakukan pekerjaan yang kita letakkan hati kepadanya. Mungkin kita ada bakat di situ ataupun kita ada minat, tetapi sekiranya tidak ada bakat dan minat? Rasa tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik. Sekiranya itu juga tidak ada, cari kerja lain.

Untuk Lee Iacocca, bagi memudahkannya, dia akan meletakkan pekerja yang punyai minat mendalam dalam sesuatu tugasan. Meletakkan pekerja yang tidak berminat, akan memberi kesan yang sangat besar dalam syarikat dan pekerja itu sendiri.

Ketika mahu menyelamatkan Chrysler Motors, dia membuat banyak perubahan dalam syarikat. Antaranya tadi meletakkan pekerja pada tempat yang pekerja itu suka. Kemudiannya dia terpaksa memotong kos dengan membuang ramai pekerja, menutup beberapa kilang yang tidak menguntungkan. Namun itu belum cukup. Dia membuat pula pinjaman daripada kerajaan Amerika Syarikat sebanyak 1.5 bilion dolar. Yang mana pinjaman itu dibayar tunai dalam tempoh yang singkat, tiga tahun.

Ketika terpaksa membuang pekerja, ramai antaranya adalah pengurus dan untuk Lee Iaocca, bagi memilih pengurus yang bagus pengurus itu perlu ada daya ‘decisiveness’ iaitu keupayaan membuat keputusan yang cepat dan efektif. Kerana untuknya, kita boleh ada puluhan idea genius emas, tetapi kalau idea itu hanya berada dalam kepala tidak dijadikan tindakan ia tidak bermakna apa-apa.

Untuk itu, setiap kali ada yang datang kepadanya memberi idea, Lee Iaocca akan menyuruhnya menuliskan idea itu. Dia tidak mahu orang menjual idea kepadanya hanya dengan nada suara yang nyaman didengar atau dengan paksaan personaliti yang menarik.

Bagi memastikan setiap pekerjanya itu punyai ‘decisiveness’, dia akan sentiasa ada soalan, apa objektif anda untuk 90 hari ke depan? Apa perancangan, apa keutamaan, dan apa harapan anda? Dan bagaimana anda mahu mencapai objektif itu?

Ini kerana untuk Lee Iaocca, pada akhirnya perniagaan itu adalah berkenaan tiga perkara, pekerja, produk dan keuntungan. Pekerja yang paling utama. Jaga pekerja, produk dan keuntungan akan datang sendiri.

Related Articles

Back to top button