Lebih 500 sekolah di bawah pengawasan berhubung larangan abaya : menteri Perancis
Paris – Pihak berkuasa Perancis mengawasi lebih 500 sekolah untuk kemungkinan pelajar melanggar larangan yang baru diumumkan ke atas pakaian abaya untuk wanita, ketika pelajar di seluruh negara kembali ke sekolah, kata menteri pendidikan.
Kerajaan mengumumkan bulan lalu ia mengharamkan abaya di sekolah, dengan alasan ia melanggar peraturan sekularisme dalam pendidikan yang turut menyaksikan pemakaian tudung wanita Islam diharamkan.
Tindakan itu menggembirakan pihak kanan tetapi pihak kiri berpendapat ia adalah penghinaan terhadap kebebasan awam.
Terdapat kira-kira 45,000 sekolah di Perancis, dengan 12 juta murid akan kembali ke sekolah pada hari Isnin.
Pihak kiri menuduh kerajaan Presiden Emmanuel Macron yang berhaluan tengah cuba bersaing dengan pihak kanan Marine Le Pen dan menjadi lebih ‘kanan’.
Attal, bagaimanapun, berkata beliau menentang larangan ke atas ibu bapa memakai pakaian yang mempunyai kepentingan agama apabila mereka menemani anak mereka ke sekolah.
“Terdapat perbezaan antara apa yang berlaku di sekolah dan apa yang berlaku di luar sekolah. Apa yang penting bagi saya ialah apa yang berlaku di sekolah,” katanya.
Beberapa tokoh terkemuka pihak kanan telah menyeru kerajaan mewajibkan kanak-kanak memakai pakaian seragam di sekolah negeri dan Attal berkata beliau akan mengumumkan tentang pakaian seragam pada musim luruh.
“Saya tidak pasti sama ada ia penyelesaian yang akan menyelesaikan semua masalah sekolah. Tetapi saya fikir ia patut dicuba,” tambahnya.
Undang-undang yang diperkenalkan pada Mac 2004 melarang “pemakaian objek atau pakaian yang menunjukkan pertalian agama” di sekolah.
Ini termasuk salib besar, kippa Yahudi dan tudung Islam.
Tidak seperti tudung, abaya – pakaian labuh yang dipakai oleh penganut Islam berada di kawasan kelabu dan tidak menghadapi larangan sehinggalah bulan lepas.