Lebih 50 peratus populasi dewasa Malaysia sudah lengkap vaksin
KUALA LUMPUR : Sebanyak 50.2 peratus atau 11,743,096 daripada keseluruhan populasi dewasa negara ini, setakat semalam sudah melengkapkan dos vaksin COVID-19 masing-masing.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) berkata, pemberian 531,114 dos vaksin berjaya diselesaikan semalam, membabitkan 188,474 dos pertama, manakala 342,640 adalah dos kedua pelalian itu.
Selain itu, seramai 17,625,760 yang mewakili 75.3 peratus populasi dewasa di negara ini direkodkan menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian itu.
Ia menjadikan kumulatif pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara ini, meningkat kepada 29,368,856 dos sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan sejak 24 Februari lalu.
Malaysia kini berada dalam Fasa Tiga PICK dalam pemberian vaksin kepada 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas serta kalangan warga asing yang berada di negara ini dan dijangka selesai pada Mei tahun depan.
Oleh Hafeez Anuar