PalestinSemasa

Lebih 449 serangan israel ke atas perkhidmatan kesihatan di Gaza : WHO

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus mengesahkan lebih 449 serangan terhadap perkhidmatan kesihatan di Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober, dengan berkata, “Sekarang, melaksanakan tugas sebagai pekerja kesihatan adalah mustahil.”

Bercakap pada sesi khas anjuran lembaga eksekutif WHO mengenai situasi kesihatan di wilayah Palestin, Tedros pada Ahad menekankan impak bencana konflik terhadap situasi kesihatan di Gaza.

“Lebih 17,000 orang dilaporkan maut di Gaza, termasuk 7,000 kanak-kanak dan kita tidak tahu berapa ramai yang tertimbus di bawah runtuhan rumah mereka. Lebih 46,000 kecederaan dilaporkan,” katanya.

Sebanyak 1.9 juta orang telah dipindahkan – hampir keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza – dan mencari perlindungan di mana-mana sahaja yang ada. Tiada tempat dan tiada siapa yang selamat di Gaza,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa bahagian kesihatan tidak boleh menjadi sasaran, dengan mengatakan secara purata, terdapat satu unit pancuran mandian untuk setiap 700 orang dan satu tandas untuk setiap 150 orang, dan terdapat tanda-tanda penyakit wabak yang membimbangkan termasuk cirit-birit berdarah, dan jaundis.

Menurutnya, hanya 14 hospital daripada 36 buah yang berfungsi dan itupun hanya sebahagiannya.

“Apabila semakin ramai orang berpindah ke kawasan yang lebih kecil, kesesakan dan kekurangan makanan, air, tempat tinggal dan sanitasi yang mencukupi, mewujudkan keadaan yang sesuai untuk penyakit merebak,” katanya.

Ketua WHO itu menekankan sokongan mereka terhadap gesaan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk gencatan senjata kemanusiaan yang kekal dan segera bagi memastikan penyampaian bantuan kritikal kepada mereka yang memerlukan segera di Gaza.

“Gencatan senjata adalah satu-satunya cara untuk benar-benar melindungi dan menjamin kesihatan penduduk Gaza. Saya amat kesal kerana Majlis Keselamatan tidak dapat menerima pakai resolusi mengenai gencatan senjata seperti itu pada Jumaat lepas,” katanya merujuk kepada sekatan veto AS.

Sejak serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas, Israel telah melancarkan serangan udara dan darat ke atas enklaf yang dikepung itu, membunuh beribu-ribu rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, dan memaksa kira-kira 1.9 juta orang meninggalkan rumah mereka.

Penduduk Gaza juga menghadapi kekurangan makanan, air dan barangan asas lain kerana hanya sedikit bantuan dibenarkan masuk.

SUMBER: AA

 

Related Articles

Back to top button