
MADINAH : Sejak awal musim umrah tahun ini, sebanyak 1,542,960 jemaah umrah tiba di Madinah menerusi pintu masuk udara, darat dan laut dengan 1,300,380 telah keluar manakala baki 242,580 masih berada di Madinah sehingga Isnin.
Agensi Kementerian Haji dan Umrah Bagi Hal Ehwal Lawatan di Madinah mengeluarkan statistik yang menunjukkan bilangan tertinggi jemaah adalah dari Iraq dengan 313,815 jemaah, diikuti Pakistan (201,003), Indonesia (171,898) dan Mesir dengan 95,907 jemaah yang mengunjungi Masjid Nabawi.
Menurut laporan Saudi Gazette, sejumlah 262,781 permit dikeluarkan melalui aplikasi Eatmarna bagi menunaikan solat dalam kawasan Rawdah di Masjid Nabawa pada Ramadan, termasuk 116,045 permit bagi jemaah wanita, manakala jumlah permit yang dikeluarkan untuk solat di Rawdah sejak awal musim umrah mencapai 2,785,720 permit.
Statistik kementerian menunjukkan jumlah permit yang dikeluarkan untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan tahun ini mencecah 6,694,998 permit melalui aplikasi Eatmarna.
Statistik juga menunjukkan pasukan susulan dan pemeriksa melaksanakan 900 lawatan turun padang bagi menyemak tahap perkhidmatan yang ditawarkan syarikat umrah sepanjang Ramadan, yang mana 950,000 pelawat mengambil bahagian dalam soal selidik untuk mengukur tahap kepuasan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan ketika Ramadan. – AGENSI