BAITULMAQDIS: Lawatan seorang Ahli Parlimen pelampau yang kontroversi menyebabkan tercetusnya pertempuran antara polis Israel dengan penduduk Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis pada Ahad, semalam.
Lapan individu ditahan kerana didakwa terbabit dalam rusuhan dan keganasan di timur Baitulmaqdis yang dijajah, lokasi yang menjadi simbol penentangan rakyat Palestin terhadap Israel, menurut polis.
Pembukaan pejabat Parlimen di Sheikh Jarrah oleh wakil pakatan Religious Zionism, Itamar Ben Gvir, yang disifatkannya sebagai usaha membantu penduduk Yahudi di situ, menyebabkan pertempuran berlaku.
Ben Gvir yang juga nasionalis Yahudi, pernah mengeluarkan kenyataan provokasi mengenai rakyat Palestin dan menuduh polis kerana gagal bertindak terhadap dakwaan rumah seorang penduduk Yahudi dibakar di Sheikh Jarrah.
Beliau yang membuka pejabat di bawah khemah, menegaskan akan kekal di situ hingga polis ‘menjaga keselamatan penduduk Yahudi’.
“Nyawa penduduk Yahudi menjadi tidak bernilai,” katanya menerusi Twitter sebelum lawatan itu.
Rakyat Palestin turut digesa berkumpul, manakala satu kumpulan Yahudi Israel yang tidak bersetuju dengan Ben Gvir, mengedarkan petisyen dalam talian bagi menggesa penduduk menuju ke Sheikh Jarrah sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin.
Kesatuan Eropah (EU) menerusi Twitter menzahirkan kebimbangan terhadap ‘pertempuran ganas’ itu, dan menegaskan sebarang bentuk provokasi dan tindakan seumpamanya di kawasan sensitif itu hanya akan menambah ketegangan dan ia perlu dihentikan.
Pihak Berkuasa Palestin yang berpusat di Tebing Barat, turut menyelar lawatan Ben Gvir dan menyifatkannya sebagai langkah provokatif yang berisiko mencetus keganasan yang sukar dikawal.
Ketegangan yang memuncak di Sheikh Jarrah sejak tahun lalu berikutan sejumlah keluarga Palestin dihalau penceroboh Israel, adalah antara punca perang antara Israel dan kumpulan bersenjata di Semenanjung Gaza pada Mei tahun lalu.
Lebih 200,000 penduduk Yahudi menetap di timur Baitulmaqdis dalam komuniti yang dilihat melanggar undang-undang antarabangsa.
Israel menawan timur Baitulmaqdis ketika Perang Enam Hari pada 1967 sebelum menambah kawasan itu sebagai sebahagian daripada Israel, namun langkah itu tidak diiktiraf kebanyakan komuniti antarabangsa. – AFP
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today